IPOH: Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan tujuh kenderaan sehingga mengorbankan empat beranak, di Kilometer 277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini semalam, direman tiga hari, sehingga Sabtu.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Puteri Nordina Kamalaudin selepas mendapat permohonan daripada pihak polis, bagi membantu siasatan.

Terdahulu, media melaporkan, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, semakan yang dibuat mendapati, lelaki terbabit turut mempunyai 13 rekod kesalahan saman trafik dari tahun 2008 hingga 2021.

Tiga daripada saman berkenaan adalah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2012, 2020 dan 2021.

Bagaimanapun, ujian air kencing dijalankan mendapati, lelaki itu tidak memandu di bawah pengaruh dadah.

Dalam kejadian pada Rabu, treler bermuatan kosong yang dalam perjalanan dari arah Taiping ke Bukit Beruntung telah merempuh kenderaan dinaiki mangsa dari arah belakang.

Katanya, rempuhan mengakibatkan kereta jenis Proton Persona dinaiki empat sekeluarga itu mengelongsor ke hadapan lalu melanggar lima lagi kenderaan lain.

Pemandu kereta, seorang lelaki berusia 60 tahun, isterinya yang duduk di hadapan dan dua anak perempuan mereka yang duduk di bahagian penumpang belakang telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemalangan turut menyebabkan lima kenderaan lain mengalami kerosakan teruk, namun semua pemandu dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kesemua jenazah empat beranak dikafan dan disembahyangkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, sebelum dibawa ke Permatang Pasir, Permatang Pauh, Pulau Pinang untuk urusan pengebumian.