KLUANG: Empat empangan di negeri ini telah mencatatkan paras bahaya susulan hujan berterusan sejak Isnin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata empat empangan tersebut ialah Empangan Sembrong di Ayer Hitam, Empangan Bekok di daerah Segamat, Empangan Labong di Endau, Mersing dan Empangan Machap di Simpang Renggam.

Beliau berkata Empangan Sembrong telah mencatatkan paras takungan semasa 12.18 meter setakat 7.30 pagi tadi, melebihi aras takungan normal iaitu 8.5 meter.

"Empangan Sembrong merekodkan jumlah penerimaan hujan sebanyak 13 millimeter (mm). Justeru, sebanyak 15.3 meter padu air telah dilepaskan daripada empangan tersebut," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohamad Fazli berkata paras takungan semasa di Empangan Bekok turut melepasi aras normal iaitu 20.75 meter berbanding aras takungan normal 16 meter; Empangan Machap pula merekodkan bacaan 17.45 meter (aras normal 15.85 meter) dan Empangan Labong mencatatkan 8.81 meter (aras normal 8.42 meter).

Beliau berkata 60.56 meter padu air telah dilepaskan daripada Empangan Bekok; Empangan Machap (27.26 meter padu air) manakala bagi Empangan Labong sebanyak 1,378 meter padu air dilepaskan.

Katanya Empangan Bekok merekodkan jumlah penerimaan hujan sebanyak 38mm, Empangan Machap (25.5mm) dan Empangan Labong sebanyak 90mm hujan.

Justeru, Mohamad Fazli menasihati rakyat supaya bersabar dan berhati-hati serta sentiasa mendengar arahan pihak berkuasa.

"Kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya bagi menjaga keselamatan rakyat dan mengelakkan bencana yang lebih besar," tambah beliau.

-- BERNAMA