Empat juruterbang pasukan Jupiter Aerobatic dari Indonesia yang terlibat dalam insiden pesawat terhempas pada sesi latihan Pameran Udara dan Maritim Langkawi (LIMA 2015) hari ini dikatakan mempunyai rekod jam penerbangan yang baik.

Perkara itu dinyatakan Ketua Jabatan Penerbangan TNI Marsma Hadi Tjahjanto, seperti yang dilaporkan portal berita Metro TV Indonesia.

Beliau memberitahu, keempat-empat mereka iaitu Arief Hartono, Sri Rahardjo, H.S Romas dan Hunaidi Syarif Romas ialah juruterbang berpengalaman.

"Mereka ialah anggota skuadron tim (Aerobatic Jupiter). Sebelum menjadi jurulatih, mereka merupakan kapten dan wingman.

"Setelah menjadi jurulatih, mereka juga menjalani proses pemilihan untuk melayakkan mereka menyertai pasukan Aerobatic. Jam penerbangan mereka sudah sesuai standard yang ditentukan," ujar Marsma Hadi.

Pihak TNI sedang menyelidik punca kemalangan tersebut, termasuk memeriksa penggunaan gerakan penerbangan serta faktor luaran seperti cuaca dan keadaan udara.

Apabila ditanya adakah TNI akan tetap mengikuti LIMA 2015 atau tidak, Marsma Hadi menjawab: "Besok kita masih membuat penilaian, apakah (penyertaan) akan diteruskan atau tidak. Tentunya sudah ada pasukan yang terbang ke Langkawi”.

Kesemua mereka hanya mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan itu dan sedang menerima rawatan di Hospital Langkawi.

Sejurus selepas insiden berlaku kira-kira 2 petang, mereka dikunjungi Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatannya dari Indonesia, Ryamizard Ryacudu.

Kebetulan Ryamizard berada di Langkawi untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) serta LIMA 2015.

Dalam pada itu, Hishammuddin melahirkan rasa syukurnya kerana keempat-empat juruterbang berkenaan selamat.

Menurut beliau, walaupun kumpulan juruterbang aerobatik itu terlibat dalam kemalangan, namun mereka tetap bersemangat tinggi untuk meneruskan persembahan sempena LIMA 2015.