MELAKA: Empat kawasan kajian geotapak di Melaka iaitu Tanjung Tuan, Pulau Besar, Pulau Undan dan Pulau Upeh, dilihat berpotensi untuk diiktiraf sebagai geopark kebangsaan berdasarkan kepelbagaian warisan geologi, biodiversiti dan nilai budaya tinggi.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka Siti Aminah Abdul Sarif berkata empat kawasan itu, mempunyai keunikan tersendiri dengan pencirian nilai sumber warisan meliputi saintifik, rekreasi, estetik dan budaya, untuk diangkat sebagai geo produk pelancongan baharu.

"Kajian menerusi pelan pembangunan geopark ini dimulakan sejak Mei tahun lepas dan kita dapati seperti di Tanjung Tuan, mempunyai geologi dan geodiversiti kompleks batuan yang berusia lebih 400 juta tahun.

"Malah di Pulau Besar juga merupakan unjuran granit Banjaran Titiwangsa, yang menganjur sehingga ke kawasan ini dan mempunyai fitur geologi unik, manakala Pulau Undan terdapat satu tembolo iaitu beting pasir yang berubah mengikut musim," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Siti Aminah berkata geologi dan geodiversiti terdapat di geotapak berkenaan, bukan sahaja boleh menarik pengunjung untuk menikmati alam semula, jadi malah dari segi ilmiah untuk pendidikan.

Beliau berkata uniknya di Melaka, ia menggabungkan beberapa pulau selain Geopark Langkawi dengan pelaksanaan kajian itu masih diteruskan, dan dijangka siap pada 2026.

"Kita masih dalam kajian dan melihat ciri-ciri yang boleh menjadikan ia sebagai sebuah geopark, kerana terdapat kekangan persempadanan iaitu di Tanjung Tuan dan jika ia dapat di selesaikan, Melaka akan mempunyai geopark sendiri," katanya.

Sementara itu Timbalan Pengarah Perancangan dan Pemantauan Pembangunan, Jabatan Mineral dan Geosains Noorazhar Ngatimin berkata geopark merupakan suatu kawasan yang memiliki tapak warisan geologi, yang boleh digunakan bagi tujuan pemeliharaan, pendidikan dan pembangunan secara lestari.

Beliau berkata kompenan utama geopark ialah pemuliharaan, pembangunan sosioekonomi dan pembangunan fizikal, bagi kawasan yang jelas mempunyai sumber warisan semula jadi, sejarah dan budaya bernilai antarabangsa.

"Geopark umumnya di daerah luar bandar yang memiliki warisan alam, perlu diurus secara lestari bagi memastikan sumber warisan terpelihara, komuniti setempat disejahterakan dan peluang pembangunan ekonomi ditingkatkan.

"Untuk kawasan itu diiktiraf sebagai geopark, hasil laporan penilaian yang dijalankan perlu dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan, seterusnya pewujudan Geopark Kebangsaan itu akan menjadi langkah permulaan, sebelum menjadi geopark bertaraf dunia menerusi pengiktirafan UNESCO," katanya.

-- BERNAMA