KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti empat lagi kluster baharu COVID-19 hari ini.  

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan Kluster Olive Sabah, Kluster Bah Pasir Negeri Sembilan dan Putrajaya, Kluster Bah Pengkalan Perak dan Kluster Saguking Labuan.

Menurut beliau, Kluster Olive Sabah melibatkan daerah Hulu Langat di negeri Selangor dan daerah Kota Marudu serta Penampang di negeri Sabah.

"Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-11489) telah dikenal pasti di Selangor hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

"Kes dikesan positif COVID-19 pada 2 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 16 lagi kes positif COVID-19," tambahnya dalam sidang media pada Khamis. 

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Bah Pasir Negeri Sembilan dan Putrajaya pula melibatkan daerah Port Dickson di Negeri Sembilan dan daerah Putrajaya di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Katanya, kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-14,329) telah dikenal pasti hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

Kes dikesan positif COVID-19 pada 8 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, ujar beliau lagi.

"Saringan kontak rapat telah mengenal pasti empat lagi kes positif COVID-19. Sehingga 15 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 82 individu telah disaring, di mana lima kes dikesan positif COVID-19, 74 individu negatif dan tiga individu masih menunggu keputusan," jelas Dr Noor Hisham. 

Dalam pada itu, beliau berkata, Kluster Bah Pengkalan Perak melibatkan daerah Hulu Perak di negeri Perak.

Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-14,345 dan kes ke-14,346) telah dikenal pasti hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) dan kes dikesan positif COVID-19 pada 8 Oktober 2020 serta telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Saringan kontak rapat telah mengenal pasti lima lagi kes positif COVID-19.

Sehingga 15 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 330 individu telah disaring, di mana enam kes dikesan positif COVID-19, 47 individu negatif dan 277 individu masih menunggu keputusan.

Sementara itu, Kluster Saguking melibatkan daerah Labuan di Wilayah Persekutuan Labuan dan kes
indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-15657) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan kemasukan ke Hospital Labuan pada 11 Oktober 2020.

Saringan kontak rapat telah mengenal pasti empat lagi kes positif COVID-19.

"Sehingga 15 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 43 individu telah disaring, di mana lima kes dikesan positif COVID-19, tiga individu negatif dan 35 individu masih menunggu keputusan," ujar Dr Noor Hisham lagi.