Polis menahan empat penjaga premis warga asing dalam tiga serbuan di Seksyen 27 di sini pada Ahad kerana menjual minuman keras dipercayai tiruan dan tanpa lesen.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata dalam serbuan bermula kira-kira 5 petang sehingga 7.30 malam itu, pihaknya merampas 222 tin arak dan 723 botol arak pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM30,000 selain wang tunai kira-kira RM700.

"Serbuan ini dijalankan di dua premis di Taman Bunga Raya, Seksyen 27 dan di sebuah pasar raya di Taman Alam Megah, di mana tiga lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga India berumur 28 tahun hingga 38 tahun turut ditahan.

"Siasatan kami mendapati ketiga-tiga premis ini yang beroperasi 24 jam menjadi tumpuan warga asing untuk membeli minuman keras tiruan ini yang dijual pada harga lebih murah," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah Baharudin kes disiasat mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1976 kerana menjual arak tanpa lesen dan pihaknya akan terus membanteras penjualan minuman keras tanpa lesen di sekitar daerah ini.

Dalam perkembangan lain, Baharudin berkata pihaknya berjaya menyelesaikan kes pembunuhan seorang wanita warga Indonesia yang ditemui mati berlumuran darah di sebuah pangsapuri di Bukit Jelutong di sini, pada kira-kira 8.25 malam Sabtu lepas, dengan penahanan seorang lelaki tempatan dipercayai teman lelaki mangsa.

Baharudin berkata, suspek berumur 40 tahun itu ditahan di kawasan tempat letak kereta di Seksyen 13, kira-kira dua jam selepas laporan penemuan mayat wanita berusia 38 tahun itu dibuat oleh orang awam.

"Siasatan awal polis mendapati terdapat pergelutan antara suspek dan mangsa semasa kedua-duanya berada di dalam pangsapuri itu sebelum mangsa mati, berikutan terdapat kesan luka di bahagian leher mangsa," katanya.

Tambahnya lagi, siasatan awal turut mendapati suspek mengalami masalah mental dan lelaki itu kini direman sehingga 17 Mac ini.

-- BERNAMA