Usaha mencari empat nelayan yang dikhuatiri lemas selepas bot mereka naiki dipukul ombak di muara Sungai Duyung 8.30 malam tadi, disambung semula pagi ini.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan beberapa agensi termasuk polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, (APM).

Mangsa dikenali sebagai Mohd Zawawi Mohamed, 27, Che Mohd Afendi Ismail, 34, Mohd Nazri Yaccob, 37, dan Abd Wahab Zakaria, 40.

Kesemua mereka dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Dungun selepas mendaratkan ikan di jeti nelayan di daerah Marang.

Seorang mangsa yang terselamat, Mohd Shazrin Yakob, 33, berkata abang dan tiga rakannya itu hilang ketika cuba menaiki bot gentian kaca yang dikendalikannya apabila bot induk gagal memasuki muara.

Bagaimana pun bot yang dinaiki mereka dipukul ombak lalu terbalik.

Pegawai Zon Dua, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Che Mohd Badrul Isham Che memaklumkan operasi mencari dan menyelamat akan tertumpu di kawasan muara.

Operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan hingga pagi ini ekoran cuaca gelap dan keadaan laut bergelora.