Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk pemecatan, terhadap empat pemimpin yang didakwa terlibat mensabotaj parti semasa pilihan raya umum ke-13, kata Presiden Parti itu Tan Sri Peter Chin.

Beliau berkata jawatan kuasa pusat (CC) parti menerima banyak aduan berkaitan pemimpin tertentu, yang tindakannya di beberapa kawasan Parlimen dianggap sub judice kepada SUPP, yang tewas enam daripada tujuh kerusi ditandingi.

"Setakat ini, kita sudah memberi satu surat tunjuk sebab berikutan aduan berkenaan, yang dirujuk kepada jawatankuasa disiplin (diketuai Setiausaha Agung Dr Sim Kui Hian) bagi menyiasat dan melaporkan kepada jawatankuasa kerja pusat (CWC), iaitu badan pelaksana CC, untuk mengambil tindakan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat CC ke-24 di ibu pejabat parti di sini.

Chin, yang enggan mengulas lanjut sama ada seorang daripada pemimpin terbabit ialah Pengerusi SUPP Sibu Datuk Seri Wong Soon Koh, bagaimanapun berkata CC perlu mengambil tindakan disiplin secara tegas dan pantas terhadap anggota yang mencemar imej dan ini adalah antara tiga usul yang dikemukakan pada mesyuarat hari ini.

Dua lagi usul ialah mendaftarkan semula anggota parti seramai lebih kurang 118,000 orang di semua cawangan parti serta mengesyorkan kepada kerajaan untuk mempertingkat usaha memerangi gejala rasuah, perjudian haram termasuk secara dalam talian, dan jenayah selain mempertingkat keselamatan rakyat.

Mengulas pandangan serta syor anggota CC berhubung prestasi buruk parti, Chin berkata secara umum, mereka mengakui bahawa bukan hanya SUPP yang tewas di kerusi kawasan bandar kerana parti komponen Barisan Nasional (BN) lain turut berdepan masalah sama.

Beliau berkata parti itu juga akan mengadakan beberapa siri rundingan dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS), yang mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada dua cawangan SUPP iaitu Piasau dan Bekenu, bagi dakwaan melanggar perlembagaan parti ketika pemilihan Persidangan Tritahunan Perwakilan (TDC) pada Disember 2011.

ROS, yang membebaskan 12 cawangan lain berhubung dakwaan sama, tidak akan membenarkan SUPP memperkenal perkara baharu, termasuk pindaan kepada perlembagaan parti melainkan jika isu itu diselesaikan.