KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengesahkan empat penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Perlop, Perak yang melarikan diri pada Jumaat lepas telah ditangkap semula.
Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata kesemua mereka ditahan di daerah Sungai Siput hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung.
Susulan tangkapan itu, beliau menafikan mesej tular mendakwa penghuni terbabit berada di Bandar Baru Bangi, Selangor dan berbahaya kepada orang ramai sehingga menimbulkan keresahan penduduk di situ.
“Mesej tular itu palsu berikutan kesemua penghuni tersebut hanya melarikan diri dan berada di sekitar daerah Sungai Siput sebelum ditangkap semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ruslin berkata siasatan dalaman secara menyeluruh dijalankan serta-merta bagi mengenal pasti punca kejadian termasuk meneliti sebarang unsur kecuaian atau ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP).
Beliau menegaskan AADK tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib dan undang-undang sekiranya wujud kecuaian dalam kalangan petugasnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan keresahan awam.
Beliau berkata tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang menyebarkan berita palsu mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta peruntukan undang-undang yang berkaitan.
-- BERNAMA