IPOH: Empat daripada tujuh pesakit yang dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) berikutan cuaca panas di Perak berada dalam keadaan stabil namun masih menerima rawatan susulan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak A. Sivanesan berkata keempat-empat pesakit berkenaan dipercayai mengalami masalah kelesuan dan strok haba.

"Dua daripada mereka mengalami masalah kelesuan manakala dua lagi disebabkan strok haba yang memerlukan mereka ditahan di hospital.

"Tiga lagi baki pesakit hanya mengalami gejala ringan dan hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar. Buat masa ini, tiada masalah serius yang berlaku dan situasi masih berada dalam kawalan pihak berkaitan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Kesedaran Obesiti dan Bengkel Pembedahan Bariatrik Peringkat Negeri Perak di sini, hari ini.

Pada 1 Mac lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan melaporkan Perak mencatatkan tujuh kes berkaitan cuaca panas sekali gus menjadi negeri tertinggi selepas Kedah yang merekodkan lima kes manakala Sabah satu kes.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini melaporkan negara dijangka mengalami cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan berikutan ketiadaan hujan dalam tempoh yang lama susulan fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga penghujung Mac ini.

Beberapa daerah dalam negeri Perak merupakan antara lokasi yang merekodkan suhu panas tahap berjaga-jaga iaitu sekitar 35 hingga 37 darjah Celsius.

Sementara itu, mengulas tentang program, Sivanesan berkata seramai 250 individu terdiri dalam kalangan kakitangan kesihatan negeri telah menyertai program yang bermatlamat memberi kesedaran berhubung masalah obesiti, komplikasi serta kaedah menanganinya.

Beliau berkata dalam program sama buat julung kalinya turut dianjurkan Bengkel Pembedahan Bariatrik yang bertujuan memberi pencerahan serta pemahaman berhubung perkara tersebut secara spesifik oleh pakar dari luar negara.

"Buat pengetahuan semua, HRPB sendiri telah mewujudkan klinik bariatrik yang berperanan dalam mengurangkan masalah obesiti yang berlaku. Jadi, melalui bengkel yang dilaksanakan ini ia dilihat sebagai antara usaha HRPB untuk memberi pemahaman yang lebih jelas berkenaan bariatrik," katanya.

-- BERNAMA