PASIR MAS: Empat pos kawalan milik Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand dekat Rantau Panjang dan Jeram Perdah dinaiki air antara 0.3 hingga satu meter sejak tengah hari tadi.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA DSP Ramesh K Krishnan berkata pos terbabit ialah Pos Ibrahim Pencen dan Pos Sharifah di Rantau Panjang serta Pos Salleh Berek dan Pos Pak Teh Kana di Jeram Perdah.

Beliau berkata walaupun berlaku kenaikan paras air Sungai Golok sejak kelmarin namun setakat ini, ia tidak sedikitpun menjejaskan penugasan anggota dalam melakukan rondaan dan pemantauan pencegahan penyeludupan.

"Tinjauan yang dilakukan hari ini mendapati trend air Sungai Golok adalah menaik namun ia tidak berlaku secara drastik disebabkan keadaan cuaca cerah dan tiada hujan.

"Kesemua pegawai dan anggota yang ditempatkan di pos kawalan masih menjalankan tugas seperti biasa dan keadaan ini akan sentiasa dipantau dari semasa ke semasa," katanya kepada Bernama selepas meninjau Pos Pak Teh Kana di sini.

Pusat Pemindahan Sementara masih kekal satu iaitu di Sekolah Kebangsaan Tok Deh yang kini menempatkan 31 mangsa daripada enam keluarga setakat 8 malam.

Menurut portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran, paras air Sungai Golok yang terletak berhampiran Rantau Panjang pula masih melebihi paras amaran (8 meter) iaitu 8.6 meter manakala Sungai Kelantan di Manek Krai kini melebihi paras waspada iaitu 19.84 meter.

-- BERNAMA