MALAYSIA
Merdeka Award Talk Series 2025 bincang potensi seni sebagai industri strategik negara

(Dari kiri) Moderator Lai Ngai Yuen, Datuk Ramli Ibrahim, Puan Seri Tiara Jacquelina, dan Datuk Seri Bernard Chandran pada siri bicara Merdeka Award Talk Series 2025. -Gambar MAT
KUALA LUMPUR: Seni bukan sekadar ekspresi estetika, tetapi pemangkin ekonomi dan pembangunan komuniti.
Ringkasan AI
- Siri bicara Merdeka Award Talk Series 2025 bermula dengan tema -Profit Meets Performance: When Arts Means Business-, menghimpunkan lebih 200 peserta untuk membincangkan seni sebagai pemangkin ekonomi dan pembangunan komuniti.
- Panel terdiri daripada Datuk Ramli Ibrahim, Datuk Seri Bernard Chandran dan Puan Seri Tiara Jacquelina yang menekankan kepentingan sokongan kerajaan, korporat dan teknologi dalam menjadikan seni sebagai industri mampan.
- Merdeka Award Trust, diasaskan oleh PETRONAS dan Shell, akan meneruskan siri ini sepanjang tahun dengan sesi melibatkan tokoh dari pelbagai bidang, disokong oleh rakan strategik seperti Hibiscus Petroleum.
Panel perbincangan menampilkan tiga ikon seni negara termasuk Datuk Ramli Ibrahim, Datuk Seri Bernard Chandran, dan Puan Seri Tiara Jacquelina yang masing-masing berkongsi perjalanan, cabaran serta harapan dalam menjadikan seni sebagai wahana pembangunan negara.
Menurut Datuk Ramli Ibrahim, pembangunan seni perlu bergerak ke fasa lebih progresif yang tidak hanya tertumpu di ibu negara.
“Seni di Malaysia sudah berkembang berbanding 45 tahun lalu ketika saya kembali ke tanah air. Namun, kita perlu satu anjakan besar yang melangkaui Kuala Lumpur.
"Jika Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dapat memastikan semua teater negeri diselenggara baik dan dipenuhi program kurasi berkualiti, maka seni boleh dibawa ke seluruh negara,” katanya yang juga Pengerusi Sutra Foundation.
Sementara itu, Puan Seri Tiara Jacquelina menekankan bahawa seni tempatan kini semakin berani dan memiliki identiti tersendiri.
“Seni kita tidak lagi meniru arus global, sebaliknya mencipta cetak biru tersendiri. Kini, pencipta muda bergabung dengan teknologi dalam menceritakan kisah Malaysia melalui projek seperti Dream Forest Langkawi.
"Kita perlu memikirkan model jangka panjang kerana seni bukan sekadar pelengkap negara, tetapi tunjang kepada pembinaan jati diri,” ujarnya yang juga Pengasas dan Ketua Enfiniti Group, Tiarasa Resorts dan Dream Forest Langkawi.
Beliau turut menyeru lebih banyak kerjasama antara kerajaan, korporat dan penggiat seni agar industri ini tidak bergantung sepenuhnya kepada inisiatif individu.
Pereka fesyen terkemuka, Datuk Seri Bernard Chandran, pula menyifatkan inisiatif seperti Merdeka Award sebagai platform penting untuk menyemarakkan perbincangan dan usaha pembangunan seni.
“Kita perlu bermula dari akar umbi dan memberi sokongan konsisten kepada generasi baharu. Seni bukan hanya lukisan atau fesyen, tetapi meliputi pelbagai aspek – seni bina, tekstil, teknologi kreatif.
"Dengan pendekatan bersepadu dan kerjasama pelbagai pihak, kita boleh melahirkan generasi pencipta yang mampu berdikari dan menyumbang semula kepada masyarakat,” katanya.
Siri ini merupakan inisiatif Merdeka Award Trust, sebuah badan yang diasaskan oleh PETRONAS dan Shell, dengan matlamat memupuk kepimpinan pemikiran, pertukaran intelektual, dan semangat kecemerlangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sekretariat Amanah Anugerah Merdeka, Kerina Fauzi ketika menyampaikan ucapan perasmian. - Gambar MAT
Turut hadir ialah Pengerusi Bukan Eksekutif Hibiscus Petroleum, Zainul Rahim, yang mewakili syarikat itu selaku Rakan Strategik bagi Siri Bicara Anugerah Merdeka 2025, sekali gus menzahirkan sokongan korporat terhadap agenda pembangunan seni dan budaya negara.
“Seni bukan hanya untuk estetika. Ia satu kuasa strategik yang boleh mempengaruhi industri dan memberi inspirasi kepada masyarakat.
"Perkara ini merupakan faktor utama kami di Hibiscus Petroleum menyokong program seperti ini kerana ia seiring dengan agenda pembangunan negara,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa budaya kecemerlangan harus berakar daripada kepercayaan individu terhadap kemampuan diri, dan hanya dengan pemikiran berani serta kerjasama berpasukan, sesebuah organisasi dan negara mampu melonjak ke tahap lebih tinggi.
Merdeka Award Talk Series 2025 ini akan diteruskan sepanjang tahun dengan pelbagai sesi lain yang bakal menampilkan pakar intelektual, peneraju industri dan tokoh pembaharuan negara dari pelbagai bidang termasuk pendidikan, budaya, alam sekitar dan dasar awam.
Untuk maklumat lanjut mengenai Merdeka Award Trust dan program-programnya, layari www.merdekaaward.my.

Merdeka Award Talk Series 2025 telah menghimpunkan lebih 200 hadirin merangkumi penggiat seni dan budaya, pemimpin korporat dan perniagaan, wakil agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi serta organisasi filantropi, mencerminkan kepelbagaian ekosistem seni tanah air. - Gambar MAT
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami