KOTA BHARU: Berbekalkan wang berjumlah RM30,000 dan dua buah pacuan empat roda, empat warga emas dari Kuala Lumpur sanggup mengerah keringat menyantuni mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

Empat sahabat itu, Abdul Halim Abdul Rahman, Nur Bahagia, Razak dan Farid yang berusia 61 tahun memulakan perjalanan ke Pantai Timur berbekalkan wang sumbangan daripada ahli keluarga Al-Ahmadi, warga Puncak Bangi, Alumni Asasi Sains Universiti Malaya, Alumni Victoria Institution 1978 dan Alumni SIS 1976.

Abdul Halim berkata, mereka memulakan misi tersebut pada 25 Disember lalu di Terengganu dengan mencuci tandas di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payung dan membersihkan kantin Sekolah Kebangsaan Kampung Nangka.

"Walaupun ramai yang melihat kami sebagai 'orang tua' tetapi semangat untuk membantu mangsa banjir menjadi 'tenaga' sepanjang kerja-kerja mencuci dilakukan.

"Kami membawa kelengkapan yang cukup untuk mencuci walaupun ada kekangan dari segi bekalan air dan turut dibantu oleh orang ramai yang sama-sama bergotong-royong," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Abdul Halim, selain itu sebanyak 1,300 ekor ikan siakap sejuk beku serta 170 ekor ayam segar dan 170 kilogram daging lembu tempatan turut diagihkan kepada mangsa banjir di kedua-dua negeri itu.

Tambahnya, bekalan makanan lauk segar itu menjadi pilihan kerana kebanyakan mangsa banjir telah menerima makanan kering daripada pihak lain.

Dia memberitahu, bagaimanapun barangan dapur turut diberikan kepada yang memerlukan.

Ujar Abdul Halim, antara lokasi banjir yang disantuni oleh mereka ialah di Kampung Cegar Batang (Terengganu), Lancang, Serongga, Bawah Lembah, Gual Periok dan Mengkebang (Kelantan).

"Misi tersebut turut dibantu oleh beberapa individu iaitu Semenanjung Mas, Abe Nuhairi Muda, Zed, Misi Rakyat, Kelantan 4x4 Raja Rimba Advanture Club.

"Alhamdulillah misi kami untuk membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu berjalan lancar. Terima kasih kepada semua penyumbang," katanya. - Sinar Harian