TELUK INTAN: Empat individu termasuk sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga tuduhan menerima deposit tanpa lesen sah, antara Mei dan Oktober lalu.

KB Raman Nair, 35 tahun, isterinya, M Yeohgeswary, 28 tahun, R Rangini, 38 tahun, dan A Kaarthik, 33 tahun, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menerima deposit daripada K Vinoth, 39 tahun, berjumlah RM8,830 tanpa suatu lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758), antara 12.41 tengah hari 8 Mei dan 4.25 petang 13 Oktober lalu.

Mereka juga didakwa menerima deposit daripada S Piragasam, 45 tahun, berjumlah RM47,330, tanpa suatu lesen yang sah, antara 6.15 petang 14 Mei dan 11.24 pagi 17 Oktober lalu.

Bagi tuduhan ketiga, mereka didakwa secara bersama menerima deposit daripada David Robert Hendriks, 41 tahun, berjumlah RM4,090, tanpa suatu lesen yang sah, antara 6.43 pagi 8 Ogos dan 7.53 pagi 17 Oktober lalu.

Mereka didakwa melakukan semua perbuatan itu di Hong Leong Bank cawangan Bidor.

Ketiga-tiga pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 137(1) Akta 758, boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen 137(2) memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang, bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 30 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azalea Sharmeen Zaizan manakala tertuduh pertama hingga ketiga diwakili peguam Keshvinder Singh dan tertuduh keempat diwakili peguam Vinesh.