Empat sekeluarga maut selepas kenderaan yang dinaiki terbabas sebelum bertembung dengan van di Kilometer 13, Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands, dekat Pos Betau di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan keempat-empat mereka yang menaiki Perodua Alza mati di tempat kejadian manakala seorang lagi anggota keluarga berkenaan cedera parah.

"Mereka yang maut ialah Norulaini Ab Ghani, 43, suaminya Raja Mohd Adnan Raja Husain, 45, dan dua anak mereka Raja Nur A'iysah, 14, serta Raja Nur Anis Batrisya, 8 tahun, katanya ketika ditemui pemberita malam tadi.

Mereka yang cedera parah ialah Raja Nur Alyaa Masturina, 13, dan pemandu van Toyota Hiace, Wendi Hasby, 26.

"Kemalangan dipercayai berpunca apabila Perodua Alza yang dipandu Norulaini hilang kawalan semasa menuruni bukit lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan van membawa barangan runcit dari arah bertentangan.

"Kemalangan yang berlaku pada 2.15 petang itu menyebabkan tiga daripada empat mangsa yang maut tersepit di tempat duduk masing-masing," katanya.

Abdul Razak berkata pihaknya meminta bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Raub untuk mengeluarkan mangsa manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Lipis untuk rawatan.

Beliau menambah, keluarga itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Jengka 6, Maran selepas bercuti di pusat peranginan tanah tinggi itu.