HANOI: Penerbangan Vietnam Airlines VN35 dari Ho Chi Minh City ke Munich, Jerman dilencongkan ke Pakistan bagi memberikan bantuan perubatan kepada seorang penumpang yang mengalami masalah kesihatan, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Ketika dalam penerbangan, seorang penumpang lelaki warga Jerman tiba-tiba diserang sawan.
Sebaik menyedari kejadian itu, kru kabin segera memberikan bantuan yang diperlukan dan mendapatkan bantuan perubatan di dalam pesawat.
Selepas memeriksa penumpang berkenaan, seorang doktor yang turut berada dalam penerbangan itu mendapati lelaki tersebut memerlukan rawatan perubatan segera dan mengesyorkan supaya pesawat mendarat bagi membolehkannya menerima rawatan tepat pada masanya di sebuah kemudahan perubatan.
Kru penerbangan kemudian memutuskan untuk mendarat di Islamabad, Pakistan, manakala Vietnam Airlines menyelaraskan urusan dengan kakitangan darat di Pakistan bagi mengatur bantuan perubatan.
Pesawat itu dijangka meneruskan penerbangan ke Munich selepas penumpang berkenaan menerima bantuan, pesawat diisi semula dengan bahan api dan kebenaran untuk meneruskan penerbangan diperoleh.
Syarikat penerbangan itu turut mengatur bantuan kepada penumpang yang terlepas penerbangan sambungan akibat lencongan berkenaan.
-- BERNAMA-VNA