Empat sekeluarga maut: Pemandu treler dibebas dengan jaminan polis hari ini

Bernama
Julai 16, 2022 10:11 MYT
Pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan empat sekeluarga Rabu lepas, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini. - Gambar fail
IPOH: Pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan empat sekeluarga di KM277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini, Rabu lepas, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata lelaki berusia 34 tahun itu yang direman selama tiga hari sejak Khamis lepas dibebaskan kira-kira 10.45 pagi tadi apabila keterangannya selesai dirakamkan.
"Polis menunggu arahan pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam jawapan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 2.45 petang Rabu lalu, empat sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan enam kereta dan sebuah treler di lokasi berkenaan.
Mangsa, pesara polis Rahim Ramli, 60, isterinya Siti Petimah Omar, 59, dan dua anak perempuan mereka, Nor Hadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pemandu itu mempunyai 13 saman kesalahan trafik sejak 2008 sehingga tahun lepas, termasuk tiga daripada saman tersebut adalah terlibat dalam kemalangan jalan raya.
-- BERNAMA
#pemandu treler #empat sekeluarga #kemalangan #Polis Daerah Ipoh #dibebas