MALAYSIA
Enam beranak maut: ‘Kami tak berhenti cari keluarga abang sejak mereka hilang’

Sebahagian ahli keluarga dan kenalan tidak dapat menahan kesedihan selepas melihat enam mayat yang ditemukan dalam sebuah kereta di dalam Sungai Korok, dekat Jitra pada Isnin. - Foto Bernama
ALOR SETAR: "Kami sekeluarga tidak berhenti mencari abang, isteri dan empat anaknya sejak mereka hilang Sabtu lepas, sehinggalah kereta mereka dijumpai di dalam Sungai Korok pagi tadi," kata Muhammad Adlan Solehin Ishak.
Ringkasan AI
- Mayat Muhammad Azim Izat, isterinya dan empat anak mereka ditemukan dalam kereta yang tenggelam di Sungai Korok, Jitra, selepas hilang sejak Sabtu lalu dalam perjalanan pulang ke Jerlun.
- Adik mangsa, Muhammad Adlan Solehin, berkongsi usaha pencarian tanpa henti sejak kehilangan, termasuk pengecaman kereta dan mayat di lokasi kejadian serta proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah.
- Jenazah akan dikebumikan di Jerlun berhampiran kubur anak kembar mangsa yang meninggal dunia Februari lalu, menyatukan semula tujuh beranak. Anak sulung pasangan itu, Puteri Qisya, terselamat kerana tidak ikut dalam perjalanan.
Muhammad Adlan Solehin yang menetap di Perlis berkata dia mengetahui mengenai kehilangan keluarga abangnya itu selepas dimaklumkan oleh ahli keluarga yang lain, sebelum turut sama melakukan pencarian mangsa tanpa henti sejak Sabtu.
"Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah abang pada pagi Jumaat, sehari sebelum kejadian, kami bersarapan sekali. Semalam pun, kami cari hingga malam, tetapi tiada sebarang petunjuk.
"Pagi tadi, ada polis yang menghubungi dan meminta kami ke lokasi kejadian (di Sungai Korok) kerana mereka menemukan sebuah kereta di dalam sungai," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, di sini hari ini.
Muhammad Adlan Solehin berkata dia dan ahli keluarga kemudian mengesahkan bahawa kereta yang ditarik keluar oleh anggota bomba itu ialah kereta milik abangnya berdasarkan pengecaman beberapa pelekat di bahagian belakang kereta berkenaan.
"Saya dimaklumkan, apabila bomba buka pintu kereta sebelah bahagian pemandu, mereka memang menjumpai kesemua mayat mangsa di bahagian belakang kereta.
"Selepas buat pengecaman tadi, kesemua mayat dibawa menaiki trak dan saya turut berada di dalam trak berkenaan. Sekarang proses bedah siasat sedang dijalankan dan pihak hospital maklumkan paling awal selesai sebelum waktu maghrib," katanya.
Muhammad Adlan Solehin berkata kesemua jenazah akan dibawa pulang ke Jerlun untuk dikebumikan di sana, berhampiran kubur seorang lagi bayi Muhammad Azim Izat yang meninggal dunia Februari lepas.
"Arwah dapat pasangan kembar lelaki, tetapi yang abang meninggal dunia ketika dalam pantang, jika dikebumikan di situ, mereka akan 'bersatu' kembali sebagai tujuh beranak," katanya hiba.
Dalam pada itu, dia berkata pasangan berkenaan meninggalkan seorang anak sulung, Puteri Qisya Nur Izzat, 12, yang tidak mengikuti keluarga ke rumah saudara pada hari kejadian.
Sementara itu, sepupu kepada Muhammad Azim Izzat, Bashiroh A Hamid, 45, berkata arwah memang rapat dengan ahli keluarga dan tragedi itu memberikan kesan yang sangat mendalam buat mereka.
"Selepas mengetahui mengenai kehilangan keluarga mangsa, kami semua keluar mencari dan anak sulung arwah pun turut sama mencari ayah, ibu dan adik-adiknya," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami