Enam empangan di empat negeri pada paras kritikal

Azyyati Ahmad
April 5, 2016 08:33 MYT
Empangan Babagon antara enam empangan yang kini dalam pemantauan jawatankuasa khas yang dibentuk kerajaan. - Foto Astro AWANI
Enam empangan di empat negeri mencatat bacaan paras kritikal kesan daripada fenomena El Nino yang melanda negara sejak Januari lalu.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili berkata enam empangan terbabit adalah Timah Tasoh, Perlis; Gemencheh, Negeri Sembilan; Sg Lebam dan Sg Layang, Johor; serta Milau dan Babagon di Sabah.
"Susulan itu, enam empangan itu kini dalam pemantauan jawatankuasa khas yang dibentuk kerajaan.
"Setakat ini, penambahan paip telah dilakukan di Empangan Sungai Layang, Johor bagi mengawal masalah paras air kritikal di negeri itu," katanya.
Beliau ditemui dalam sidang media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Antarabangsa Ke-3 Tenaga Mampan (ISES) 2016 Anjuran Sustainable Energy Authority Malaysia (SEDA), di Putrajaya pada Selasa.
Persidangan ketiga itu kali ini memfokuskan ke arah pendemokrasian bekalan elektrik bagi memacu agenda tenaga lestari boleh diperbaharui di negara ini.
Dalam sidang media tersebut, beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Meteorologi dan Jabatan Alam Sekitar Sabah dalam proses mengadakan pembenihan awan bagi mengatasi masalah jerebu di sana yang dikesan berpunca daripada kebakaran Hutan Simpan Binsuluk di Beaufort dan Kota Klias.
#empangan #empangan kritikal #Maximus Ongkili #paras air