KUALA PERLIS: Enam jam terapung di tengah laut, kami hanya ingat dua perkara iaitu akan hidup atau mati, itulah luahan salah seorang pemancing yang terselamat insiden bot karam Mohd Azril Abdullah, 41 tahun.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata beliau dan 13 rakan pemancing dan empat kru bot bernasib baik, apabila sebuah bot nelayan dari Kuala Kedah menyelamatkan mereka.

"Kami hampir putus asa apabila hari semakin gelap dan kami berpecah kepada dua kumpulan bagi memudahkan pihak penyelamat memberi bantuan," katanya kepada Bernama ketika tiba di Jeti Feri Kuala Perlis dari Pulau Langkawi.

Bernama semalam melaporkan kesemua empat kru dan 14 pemancing warga tempatan yang berumur antara 26 hingga 55 tahun itu berjaya diselamatkan bot nelayan tempatan pada pukul 7.30 malam, setelah bot yang dinaiki mereka karam pada pukul 2.15 petang di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah dekat Langkawi.

Mohd Azril yang merupakan kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata dia bersama rakan-rakan lain sangat bersyukur, apabila isyarat lampu kecemasan yang dinyalakan mereka disedari oleh bot nelayan tempatan yang melalui kawasan berkenaan.

"Isyarat kecemasan melalui lampu suluh itu telah berjaya disedari pihak terlibat dan andai kata terlepas bantuan bot itu, kami memang sudah terputus harapan untuk diselamatkan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa dalam kejadian berkenaan, Mohd Shahrin Shamsuddin, 43, berkata, sewaktu bot dinaiki mereka mula karam, dia bersama rakan-rakan lain cuba untuk menggelakkan situasi panik dan berpegangan antara satu sama lain, memandangkan keadaan cuaca angin kencang dan laut bergelora.

Beliau yang merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Sena berkata bot berkenaan dilihat mula bocor pada bahagian hadapan, dan mula tenggelam dengan pantas hanya dalam tempoh 10 ke 15 minit.

"Kejadian itu berlaku begitu pantas dan kami cuba untuk tidak berputus asa sementara menunggu bantuan daripada pasukan penyelamat," katanya bapa kepada dua orang anak itu.

BACA: 18 pemancing, kru bot karam di perairan Langkawi ditemui selamat

BACA: 'Bot karam dibadai ombak 5 meter' - Mangsa cerita detik cemas 7 jam terumbang-ambing di lautan

Dalam pada itu, Mohd Farid Ghazali, 26, yang merupakan mangsa termuda memaklumkan, salah seorang kru bot dinaiki mereka berjaya menghantar isyarat kecemasan kepada pasukan penyelamat sebelum kejadian berkenaan.

"Bot nelayan berkenaan menemui kami pada kedudukan kira-kira 30 kilometer dari lokasi kejadian dan kami merasa amat bersyukur setelah berjaya diselamatkan," katanya.

-- BERNAMA