Enam kenderaan rosak akibat tangki pecah di pangsapuri Sepang

Bernama
Oktober 28, 2022 01:45 MYT
Kejadian 'air terjun' akibat tangki air pecah di sebuah pangsapuri di taman berkenaan tular di media sosial pada Khamis. - Foto media sosial
SEPANG: Sebuah tangki air berketinggian 18.3 meter (60 kaki) di sebuah blok apartment di Taman Mas di sini pecah sehingga mengakibatkan enam kenderaan rosak teruk.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata serpihan tangki air yang jatuh telah menimpa kenderaan di bawah blok apartment terbabit.
Kejadian itu bagaimanapun, tidak melibatkan kemalangan jiwa, sebaliknya hanya kerosakan harta benda dan mangsa terlibat diminta membuat laporan polis bagi tuntutan insurans, katanya.
"Bantuan lori air bersih dihantar Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) untuk bekalan air bersih kepada 172 rumah yang terjejas," katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.
Semalam, tular di media sosial kejadian 'air terjun' akibat tangki air pecah di sebuah pangsapuri di taman berkenaan.
BACA: Video tular papar 'air terjun' di sebuah pangsapuri
Video berdurasi hampir empat minit itu turut menunjukkan beberapa kenderaan yang diletakkan di perkarangan bangunan terkena curahan air deras dari tangki pecah itu.
-- BERNAMA
#bekalan air #tangki pecah #Air Selangor #kenderaan rosak