Enam lagi penguatkuasa JPJ didakwa terlibat rasuah

Dewi Nur Harasha Alias
Julai 26, 2019 04:03 MYT
Seramai 11 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama selepas di bawa ke mahkamah pada Rabu dan Khamis. - Foto Bernama
Enam lagi penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth hari ini atas 14 pertuduhan rasuah melindungi 'lori- lori kebal' di Pulau Pinang.
Mereka didakwa menerima suapan keseluruhan berjumlah kira-kira RM 10,900 daripada
seorang pengarah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri itu.
Bagaimanapun, kesemua tertuduh yang turut berdepan pertuduhan pilihan itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.
Anggota JPJ Pulau Pinang itu ialah Pembantu Penguatkuasa Aminorofee Aris, 44, (5 pertuduhan); Pembantu Penguatkuasa Muhammad Faizal Salleh, 33,( 2 pertuduhan); Pembantu Penguatkuasa Abu Ubaidah Yacob, 51, (2 pertuduhan); Pembantu Penguatkuasa Azrul Faiz Md Saad 36, (1 pertuduhan); Pemeriksa Kereta Motor Mohd Sarwani Mohd Noor, 34, (3 pertuduhan) dan Mohd Yusri Jusoh , 48, (1 pertuduhan).
BACA: Lima penguat kuasa JPJ, seorang bekas anggota SPAD hadapi 63 pertuduhan rasuah
BACA: SPRM bawa enam lagi penguat kuasa JPJ ke mahkamah
Mengikut pertuduhan utama, kesemua mereka didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport &Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori milik syarikat terbabit (Sam Lian dan Tyre Sdn Bhd) yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di dua buah bank di Bukit Mertajam pada 2016 hingga Julai 2018.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama.
Untuk pertuduhan pilihan pula mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri dan S.Selvaranjini menawarkan jaminan masing-masing antara RM 10,000 hingga RM 15,000 bagi semua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin antara RM8,000 hingga RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan manakala syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 24 September depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mohamad Azlan Basri dan , S. Selvaranjini.
Lima tertuduh Aminorofee, Muhammad Faizal , Azrul Faiz, Mohd Sarwani dan Mohd Yusri diwakili peguam Mohd Hakim Hamran manakala Abu Ubaidah Yacob diwakili peguam M. Hafiz Zainol Abidin.
Seramai 11 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang termasuk seorang wanita dan seorang bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama selepas di bawa ke mahkamah pada Rabu dan Khamis.
Terdahulu pada 28 Mei lepas, sembilan termasuk seorang bekas SPAD juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.
Pendakwaan itu susulan penahanan lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang pada Januari lalu, selepas disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri itu.
#JPJ #mahkamah #Mahkamah Sesyen #Malaysia #penjara #pertuduhan rasuah #SPAD #SPRM