IPOH: Polis berjaya membongkar sindiket memproses dan menjual dadah dengan tertangkapnya enam lelaki dalam lima serbuan di sekitar Perak dan Negeri Sembilan, pada Ahad dan Isnin.

Dalam serbuan itu, polis turut membongkar sebuah makmal memproses dadah jenis heroin dan syabu di Meru, Ipoh.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sindiket itu dipercayai mula aktif sejak pertengahan tahun 2021.

"Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah berjaya membongkar sebuah makmal haram dadah dan merampas dadah yang disyaki heroin, anggaran berat 9,420 gram dan dadah yang disyaki syabu, anggaran berat 1,140 gram yang dianggarkan bernilai RM167,268.

"Dan turut dirampas dalam operasi ini adalah bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah. Jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 52,800 orang penagih dadah," katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, pada Rabu.

Menurutnya, tiga lelaki diberkas di Perak dan hasil soal siasat, polis memberkas tiga lagi di Negeri Sembilan.

Kesemua mereka yang berumur 21 hingga 39 tahun mempunyai rekod jenayah lampau.

Polis turut menyita lima buah kereta dan barang kemas, kesemuanya bernilai RM181,500.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman enam hari mulai 14 hingga 19 Februari bagi membantu siasatan.