Skip to main content

Malaysia

Enam pendaki Trans GBB hilang disahkan selamat

[TB]_pendaki hilang_Astro AWANI
Seramai 59 anggota digerakkan hari ini bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam pendaki itu yang dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans GBB sejak 29 Ogos. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

IPOH: Enam individu termasuk kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika menyertai  ekspedisi pendakian merentasi tiga puncak gunung di Banjaran Titiwangsa iaitu Gerah, Bilah, dan Bieh (Trans GBB) disahkan selamat.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman mengesahkan perkara itu selepas pihaknya berjaya menghubungi seorang malim gunung yang bersama kumpulan berkenaan.

“Sudah dapat berhubung dengan malim gunung petang tadi, semua selamat.

“Semua pendaki selamat dan kita akan buat proses penyelamatan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Beliau berkata, operasi akan dilaksanakan dengan menggerakkan pasukan penyelamat ke lokasi kumpulan berkenaan berada, yang dijangka mengambil masa antara empat hingga enam jam.

“Kalau boleh dibawa keluar malam ni, kita akan bawa keluar, jika tidak boleh, kita akan bawa keluar pagi esok,” ujarnya.

BACA: Enam pendaki Trans GBB hilang: 59 anggota digerak, SAR dilancar

Hari ini, seramai 59 anggota digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam pendaki itu yang dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans GBB sejak 29 Ogos.

Operasi turut dipergiat dengan pesawat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mi-17 dari Pangkalan Udara Subang yang dijadual melakukan tinjauan udara di sekitar jalur pendakian.

Semalam, media melaporkan, enam individu termasuk empat ahli keluarga dan dua malim gunung dikhuatiri hilang selepas memasuki kawasan hutan melalui Pos Dakoh, Lojing, Gua Musang, pada 29 Ogos.

Enam pendaki berkenaan ialah Shafiee Sidek, 49, Hazman Mamat, 43, Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, Siti Zulaiha Norizan, 39, Diya Raisha Wan Ahmad Aslam, 13, dan Ahmad Raef Wan Ahmad Aslam, sembilan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan itu daripada ahli keluarga kumpulan berkenaan di Selangor semalam selepas mereka gagal keluar dari hutan mengikut tarikh dijadualkan pada 3 September.

 

Must Watch Video

Advertisement