Skip to main content

Malaysia

Enam pendaki Trans GBB hilang: 59 anggota digerak, SAR dilancar

[TB]_SAR ENAM INDIVIDU HILANG DI HUTAN_ASTRO AWANI
Pasukan JBPM akan masuk ke Pos Kemar menggunakan bot melalui Jeti Trojan, Tasik Banding manakala pasukan MGP akan masuk melalui Pos Bawong, Sungai Siput dengan menaiki pacuan empat roda. - Gambar/ JBPM
Advertisement

IPOH: Seramai 59 anggota digerakkan pada Isnin bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam pendaki yang dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian merentasi tiga puncak gunung di Banjaran Titiwangsa iaitu Gerah, Bilah, dan Bieh (Trans GBB).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, keanggotaan operasi terdiri daripada 25 anggota JBPM, selain Jabatan Perhutanan (10) dan 24 Malim Gunung Perhutanan (MGP) masing-masing lapan dari Kelantan, Perak (enam) dan 10 Orang Asli Pos Kemar.

Menurutnya, mesyuarat penyelarasan SAR antara agensi telah diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik pada jam 9 pagi yang dipengerusikan pihak polis bersama JBPM Perak, Unit K9 JBPM, Jabatan Perhutanan, Jabatan Perhilitan, Pejabat Daerah Gerik dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) diputuskan ditempatkan di IPD Gerik dan Pos Kawalan Hadapan pula bertempat di Dewan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pos Kemar,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, pasukan JBPM akan masuk ke Pos Kemar menggunakan bot melalui Jeti Trojan, Tasik Banding manakala pasukan MGP akan masuk melalui Pos Bawong, Sungai Siput dengan menaiki pacuan empat roda.

Menurutnya, di samping itu pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan mendapatkan khidmat Team Pelindung bagi mengambil rakaman 'camera trap' yang berada di jalur pendakian mulai esok.

“Pihak PDRM telah memohon mendapatkan bantuan keanggotaan dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dan juga bantuan alat komunikasi,” ujarnya.

Selain itu, tambah Sayani, pihak polis juga akan bersama-sama masuk membantu dari segi keanggotaan dan persenjataan bagi tujuan keselamatan pasukan SAR.

Katanya, pesawat JBPM Mi-17 dari Pengkalan Udara Subang akan hadir ke Pos Kemar dan dijangka sampai pada jam 3 petang ini selepas selesai membuat tinjauan udara bermula jam 2 petang di lokasi jalur pendakian sekitar Gunung Sepat dan Gunung Belatoh.

“Pasukan SAR yang dianggotai JBPM, PDRM, MGP akan menuju ke lokasi terakhir mangsa dikesan,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman yang juga Komander Operasi menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan kumpulan tersebut supaya segera menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha pencarian.

Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menjejaskan kelancaran operasi SAR.

Semalam, media melaporkan, enam individu iaitu empat sekeluarga termasuk kanak-kanak selain dua malim gunung dikhuatiri hilang selepas memasuki kawasan hutan melalui Pos Dakoh, Lojing, Gua Musang, 29 Ogos lepas.

Mereka ialah  Shafiee Sidek, 49, Hazman Mamat, 43, Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, Siti Zulaiha Norizan, 39, Diya Raisha Wan Ahmad Aslam, 13, dan Ahmad Raef Wan Ahmad Aslam, sembilan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan itu daripada ahli keluarga kumpulan berkenaan di Selangor semalam selepas mereka gagal keluar dari hutan mengikut tarikh dijadualkan pada 3 September.

Beliau berkata, hasil semakan dengan Jabatan Perhutanan mendapati hubungan terakhir dengan kumpulan itu menunjukkan mereka berada di kawasan hutan Perak sebelum hubungan terputus.

"Pada masa ini kita sedang berurusan dengan pihak Perak untuk mendapatkan pengesahan kerana berdasarkan hubungan terakhir, mereka sudah berada di kawasan hutan Perak dan bukan lagi di kawasan Kelantan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

 

Must Watch Video

Advertisement