HULU TERENGGANU: 'Bila hujan rumah basah, terpaksa meniti bila jauh dari darat." 

Itu antara kesukaran enam sekeluarga yang menetapkan di sebuah rumah air yang berada dalam keadaan uzur di Tasik Kenyir di sini. 

Rumah berkenan menjadi syurga kecil buat Samsuddin Khalid, 45 tahun, bersama isteri, Norfarhana Yusof, 30 tahun, serta empat anak mereka yang berusia antara lapan bulan hingga 11 tahun.

Bagi pasangan ini, memiliki kediaman yang selesa pasti menjadi idaman setiap orang namun tidak semua yang bernasib baik mampu untuk memilikinya.

Ketika orang lain hidup selesa namun berbeza dengan nasib enam sekeluarga yang menghuni rumah di atas air sejak 10 tahun lalu begitu usang bagi berlindung daripada panas dan hujan.

Menurut Samsuddin yang bekerja sebagai pemandu rumah bot, dia bersama isteri dan anak sulung sebelum ini tinggal di rumah keluarganya di Kampung Basung, Hulu Terengganu namun berpindah kerana mahu berdikari dan menyewa di luar.

Bagaimanapun, pendapatan yang tidak menentu menyebabkannya mengambil keputusan tinggal di rumah rakit selama hampir sembilan tahun sebelum berpindah ke rumah bot apabila rumah rakit yang didiami semakin uzur sejak tahun lalu.

"Harapan kita kalau ada yang nak bagi bantuan rumah tu memang kita setujulah.

"Untuk kemudahan anak-anak dan keselamatan anak-anak kita sebab duduk sini di tasik ni nak mandi apa merbahayalah. Angin lagi, ribut lagi, musim tengkujuh lagi," katanya.


Sepanjang menghuni di atas rumah bot itu, mereka bergantung sepenuhnya kepada air tasik untuk kegunaan harian seperti mandi dan memasak. - Astro AWANI


Jelas Samsudin, sememangnya dia menginginkan kediaman apatah lagi anak-anaknya semakin membesar namun ketika ini dia tidak bekerja susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh menyebabkan pendapatannya sebanyak RM1,000 sebulan terputus.

Manakala Norfarhana berkata hatinya sering resah bila berlaku kenaikan paras air serta ribut ketika musim tengkujuh apatah lagi mereka turut berdepan ancaman haiwan berbisa.

Katanya lagi sepanjang menghuni di atas rumah bot itu, mereka bergantung sepenuhnya kepada air tasik untuk kegunaan harian seperti mandi dan memasak.

Jelas Samsudin, sememangnya dia menginginkan kediaman apatah lagi anak-anaknya semakin membesar. - Astro AWANI

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Datuk Rozi Mamat berkata, kesusahan dihadapi Samsuddin dan keluarganya sememangnya dalam perhatian pihaknya sejak Februari lalu.

Katanya, pihaknya terus mengambil tindakan dan membuat permohonan kerajaan pusat melalui Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad untuk membina sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk keluarga Samsuddin.

"Kita telah kenal pasti di Kampung Basong tanah orang tua dia. Dan orang tua dia telah setuju untuk beri sebahagian tapak rumah kepadanya dan juga anak-anaknya.

"InsyaAllah dalam masa sehari dua ini dalam proses pelantikan kontraktor untuk pembinaan rumah," ujarnya.

Beliau berkata permohonan itu telah diluluskan dan menjangkakan rumah PPRT bernilai RM60,000 itu dapat siapkan dalam tempoh sebulan lebih sejurus pelantikan kontraktor selesai.