MALAYSIA
Energy Asia 2025: Asia terajui hala tuju baharu tenaga dunia

Atul (kiri) ketika mempengerusikan sesi plenari bertajuk 'Enabling Asia’s Future Energy Ecosystem' sempena Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Di tengah-tengah landskap tenaga yang berubah pantas, Asia kini dilihat sebagai nadi pertumbuhan dan penentu utama ke arah kelangsungan tenaga dunia.
Justeru, Persidangan Energy Asia 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menjadi medan strategik kepada para pemimpin global untuk merangka penyelesaian kolektif dan memperkasa kerjasama rentas sempadan menuju sasaran sifar bersih.
Disertai lebih 180 pemimpin industri, pakar tenaga dan pembuat dasar dari serata dunia, persidangan anjuran Petronas ini memberi tumpuan kepada tema 'Demi Peralihan Tenaga Asia', dengan menekankan kepentingan tindakan menyeluruh dalam memenuhi permintaan tenaga serantau yang dijangka meningkat menjelang tahun 2050.
Menurut Naib Presiden Kanan dan Ketua Strategi Tenaga di S&P Global Commodity Insights, Dr Atul Arya, Asia akan menjadi pusat tenaga dunia berdasarkan kadar pertumbuhan ekonominya yang pesat serta populasi muda yang besar.“Asia merupakan rantau yang akan menyumbang kepada sebahagian besar pertumbuhan dan permintaan tenaga masa hadapan.
"Namun pada masa sama, perubahan iklim turut memberi kesan besar kepada rantau ini. Maka, Asia perlu menyeimbangkan antara memastikan akses tenaga kepada rakyat dan menangani cabaran iklim,” katanya.
Tambah beliau, perbincangan di Energy Asia turut memperlihatkan perbezaan ketara antara keperluan Asia dan negara maju dalam aspek transisi tenaga.
“Di Asia, kita perlu menangani dua cabaran serentak iaitu penambahan tenaga dan peralihan kepada tenaga rendah karbon.
"Masih banyak kawasan belum mempunyai akses kepada tenaga, maka mereka perlukan apa jua sumber sama ada minyak, gas atau tenaga boleh diperbaharui,” ujar beliau.
Atul turut menekankan empat perkara utama yang perlu diberi perhatian bagi mempercepat transisi tenaga di Asia termasuk kerjasama serantau, pembiayaan mampan, pembangunan bakat belia, serta pemerkasaan teknologi sedia ada.
“Contohnya, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini boleh memainkan peranan dalam mewujudkan grid elektrik serantau.
"Kita juga perlu memperluas pembiayaan dari sektor awam dan swasta, memberi peluang kepada golongan muda membina keupayaan serta mempercepat pelaksanaan teknologi yang telah terbukti di negara lain,” katanya lagi.
Persidangan Energy Asia 2025 yang berlangsung selama tiga hari mulai 16 Jun itu meliputi forum eksekutif, pameran teknologi tenaga, pelancaran anugerah Future Energy Leaders serta pelbagai sesi interaktif yang menampilkan kerjasama antara sektor awam, swasta dan masyarakat antarabangsa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami