Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli hari ini mendakwa keengganan Menteri Kewangan menyatakan secara terperinci jumlah bayaran pokok dan faedah bagi setiap hutang/bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah membimbangkan.

Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR menyatakan demikian selepas menerima jawapan bertulis bagi soalannya daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memegang portfolio kementerian berkenaan.

“Pembayaran hutang 1MDB berjumlah RM2 bilion dalam bulan Februari 2015 kepada RHB dan Maybank dilaporkan diatur oleh seorang tokoh korporat.

"Sehingga kini, kita tidak tahu apakah terma dan bayaran balas kepada tokoh korporat tersebut hasil daripada pertolongan itu,” ujar Rafizi dalam satu kenyataan media.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, apabila Jemaah Menteri meluluskan peruntukan standby credit sebanyak RM950 juta dalam bulan Mac 2015, kelulusan itu dibuat pada waktu yang hampir sama dengan pembayaran faedah 1MDB yang dilaporkan pada jumlah yang sama.

“Begitu juga penjualan tanah oleh 1MDB kepada Tabung Haji baru-baru ini dibuat dalam tempoh yang sama dengan pembayaran faedah oleh 1MDB pada jumlah yang sama.

“Maka, adalah munasabah rakyat dimaklumkan apakah senarai hutang pokok dan faedah yang perlu dibayar oleh 1MDB bermula dari Januari 2015 supaya spekulasi bahawa dana-dana awam disuntik ke dalam 1MDB untuk membayar hutang diperjelaskan,” katanya.

Rafizi juga mendakwa, alasan Menteri Kewangan bahawa penyata kewangan 1MDB bagi tahun 2015 belum diselesaikan tidak boleh diterima dan tidak masuk akal.

“Pada setiap tahun kewangan, audit yang dilakukan akan mengesahkan jumlah bayaran pokok dan faedah yang perlu dibayar oleh 1MDB dari tahun kewangan itu sehinggalah hutang/bon itu dilangsaikan.

“Maknanya, audit tahun 2014 telah pun mengesahkan perincian pembayaran hutang pokok dan faedah semua hutang/bon 1MDB bagi tahun kewangan 2014 hinggalah ke tahun-tahun hutang itu dilangsaikan,” ujarnya.

Tambah Rafizi, Menteri Kewangan boleh mengarahkan 1MDB merujuk kepada penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun 2014 untuk memberi perincian maklumat ini tanpa menunggu audit bagi tahun 2015.