Epy Raja Lawak nikahi guru tuisyen

Epy dan Siti Rahayu kedua-duanya berusia 28 tahun sudah muola kenal sejak kecil lagi.
Kata pelakon dan pelawak ini, cinta mereka kembali bertaut pada April tahun lalu ketika dia pergi mengambil tempahan sandwich di rumah Siti Rahayu.
"Kami satu sekolah daripada sekolah rendah sampai sekolah menengah... kawan satu sekolah, satu kelas. Dulu dah bercinta lepas itu masing masing bawa haluan sendiri," cerita Epy mengenai titik permulaan hubungan dia dan isterinya itu.

Bagi Siti Rahayu pula, tiada apa yang mampu diungkapkan selain bersyukur dan gembira kerana bergelar isteri kepada Epy dengan sekali lafaz.
Kata Siti Rahayu, dia dan Epy masih menyimpan hasrat untuk mengadakan majlis kenduri perkahwinan mereka selepas PKPB berakhir, namun, konsepnya sederhana sahaja. Epy dan Siti Rahayu merupakan antara 17 pasangan yang dinikahkan hari ini di Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu hari ini.
Selain mereka, tiga beradik dari Tunjang, Jitra, Mohamad Helmi Mohd Nasir, 29, Mohamad Hafiz, 26, dan Solehah, 23, turut memilih untuk dinikahkan dalam tempoh PKPB.
Kesemua pengantin baharu itu dinikahkan oleh wali masing-masing di hadapan Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu Syeikh Ahmad Muzammil Yub disaksikan dua kakitangan pejabat agama berkenaan.
Solehah yang memilih anggota tentera sebagai pasangan hidup berkata, sepatutnya mereka mengadakan kenduri pada Ahad lalu namun kerana tidak mendapat pelepasan kerana PKPB terpaksa ditangguhkan.
"Kami dah beli doorgift (cenderamata), tempah pelamin, katering, lembu seekor dah booking (tempah)... ingat nak buat kenduri tapi dah tak dapat kita redha sajalah nak buat macam mana, Allah dah tentukan," kata Solehah.
