Skip to main content

Malaysia

PM seru perkasa budaya ilmu, hidupkan teks turath

Dalam satu majlis yang sarat makna, saya berkesempatan menyaksikan peluncuran karya penting Aqaid al-Nasafi bersama tokoh-tokoh ilmuwan terkemuka seperti Prof. Ungku Aziz, Prof. Bakar Hamid dan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Ia menjadi satu penyuguhan khazanah pemikiran yang telah lama mendukung tradisi keilmuan Islam di Nusantara.
Anwar berkata kekuatan sesebuah tamadun tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata sebaliknya turut ditentukan oleh keutuhan akidah dan kedalaman wacana intelektual. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru usaha berterusan dilakukan bagi memperkasa budaya ilmu serta menghidupkan semula teks turath sebagai wahana penting memperkukuh akidah dan pemikiran umat.

"Dalam suasana dunia yang kerap berantakan dengan kekeliruan nilai dan penyimpangan makna, usaha menghidupkan kembali teks-teks turath seperti ini adalah satu wahana penting ke arah pemerkasaan umat," katanya menerusi catatan di Facebook hari ini bersempena dengan pelancaran karya Aqaid al-Nasafi.

Advertisement

Beliau berkata pelancaran karya berkenaan yang disaksikannya suatu ketika dahulu bersama-sama tokoh ilmuwan terkemuka mencerminkan kesinambungan tradisi keilmuan Islam di Nusantara.

"Dalam satu majlis yang sarat makna, saya berkesempatan menyaksikan peluncuran karya penting Aqaid al-Nasafi bersama tokoh-tokoh ilmuwan terkemuka seperti Profesor Ungku Aziz, Profesor Bakar Hamid dan Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas.

"Ia menjadi satu penyuguhan khazanah pemikiran yang telah lama mendukung tradisi keilmuan Islam di Nusantara," katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kekuatan sesebuah tamadun tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata sebaliknya turut ditentukan oleh keutuhan akidah dan kedalaman wacana intelektual.

Beliau turut mengajak masyarakat untuk menyemarakkan budaya ilmu melalui pembacaan, penggarapan dan pentafsiran dengan hikmah.

"Justeru, saya mengajak kita semua untuk terus menyemarak budaya ilmu yakni dengan membaca, menggarap serta menafsir dengan hikmah agar legasi pemikiran ini tidak sekadar dikenang tetapi terus hidup dalam kehidupan seharian sebagai manusia.

"Walhasil, di situlah terletaknya kekuatan sebenar sebuah bangsa yang berteraskan tradisi ilmu dan keteguhan iman," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video