Penubuhan sebuah badan bebas tentukan persempadanan pilihan raya dicadang untuk proses yang lebih telus.

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihanraya (ERC) mencadangkan sebuah badan khas diwujudkan bagi menentukan persempadanan kawasan untuk pilihan raya.

Menurut Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, badan khas itu penting bagi mengasingkan tugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sering berdepan pelbagai tohmahan ketika melakukan persempadanan.

"SPR ini jalankan pilihan raya. Orang tuduh SPR buat sempadan pilihan raya untuk satu satu pihak menang, selalu ada tuduhan seumpama itu. Maka, kita mahu satu badan lain yang bebas daripada tuduhan seumpama ini," ujar Ab Rashid.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya Peringkat Negeri Kedah dan Perlis di Alor Setar, Kedah pada Rabu.

Tambah Ab Rashid, banyak negara maju sudah mempraktikkan pendekatan seperti itu seperti di United Kingdom, Australia, New Zealand dan Kanada.

Mengulas lanjut, beliau berkata, badan itu bukannya bersifat kekal sebaliknya akan beroperasi setiap lapan tahun sekali dan mungkin dianggotai individu yang berbeza.

"Kita nak tentukan badan yang kita pilih dan wujudkan ini untuk membuat recommendation yang sesuai mengikut fakta yang ada," ujar Ab Rashid.

Sementara itu, pihaknya juga akan mencadangkan tempoh bertenang selama tiga hari sebelum proses membuang undi.

Dalam tempoh bertenang itu, kesemua parti boleh menurunkan bendera, poster dan pengundi boleh pergi dengan fikiran tenang dan bersih pada hari mengundi.