KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat Malaysia bahawa kemerdekaan itu bukan hanya bererti mengganti pimpinan Inggeris kepada rakyat Malaysia.

Jelas Ahli Parlimen Port Dickson itu, kesaksamaan dan kelangsungan hidup rakyat juga perlu diberi perhatian dalam menterjemah erti sebenar kemerdekaan yang dikecapi selama ini.

"Amalan keangkuhan, rompakan kekayaan negara, penindasan rakyat, penafian kebebasan dan yang lebih penting kesaksamaan dan pemerataan peluang ekonomi kepada semua rakyat di negara.

"Ini yang harus kita nilai pada hari kita menyambut kemerdekaan di negara kita.

"Apakah kita benar-benar mencatat kebebasan? Apakah kita mahu dapat melahirkan pemimpin-pemimpin yang tidak menggondol kekayaan, memunggah khazanah untuk kepentingan mereka, keluarga mereka?" katanya menerusi video ucapan sempena Hari Kebangsaan ke-64 yang bertajuk 'Memaknai Sebuah Amanah Kemerdekaan'.

Presiden PKR itu pada masa sama mempersoal adakah kemerdekaan ini memberi jaminan taraf hidup, pengagihan ekonomi serta kekayaan yang adil kepada rakyat jelata.

Justeru beliau menyeru rakyat Malaysia untuk tidak mensia-siakan kepayahan perjuangan kemerdekaan seiring usaha membawa perubahan melalui kemerdekaan negara.

 
Sumber Facebook anwaribrahimofficial