SANDAKAN: Satu kajian rintis sedang dilaksanakan di Sandakan dan Semporna berkaitan penerimaan masyarakat Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan itu, kata Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCom) Datuk Victor Sanjos.

Beliau berkata kajian itu dilakukan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan hasilnya akan dikemukakan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta pengurusan tertinggi Kementerian Dalam Negeri pada penghujung bulan ini.

"Kajian seterusnya diperluas ke empat daerah yang terlibat dengan PKP ESS Zone. Melalui kajian ini akan dapat meneliti penerimaan masyarakat dan kumpulan sasar dalam sektor perdagangan, perniagaan, perikanan, pelancongan serta pendidikan terhadap langkah penjenamaan semula Perintah Berkurung kepada PKP ESS Zone," katanya dalam teks ucapan sesi libat urus dan majlis dialog ESSCom bersama komuniti ESS ZONE Sandakan di sini.

Teks ucapan itu dibacakan oleh Timbalannya Brig Jen Roslan Mat Saad.

Menurut Victor sesi libat urus di sini merupakan penganjuran kedua selepas Semporna yang bertujuan melaksanakan kajian rintis berkenaan PKP ESS Zone susulan maklum balas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah tentang kesejahteraan masyarakat tempatan masih terjejas dengan penguatkuasaan perintah berkenaan, meskipun telah dijenamakan semula pada 17 Okt tahun lepas.

Beliau berkata usaha itu akan menganalisis keberkesanan pelaksanaan arahan tersebut, mengenal pasti ancaman sedia ada dan mengkaji hala tuju dari segi pengecilan kawasan PKP ESS Zone atau memansuhkan perintah berkenaan secara menyeluruh atau hibrid.

Kajian itu seterusnya akan turut meneliti mekanisme alternatif bagi menggantikan arahan berkenaan sekiranya diputuskan untuk dimansuhkan pelaksanaannya.

Pada 16 Julai 2014, Perintah Berkurung dilaksanakan di perairan Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan, yang kemudian diperluas ke perairan Tawau, Kinabatangan dan Beluran bagi mengekang ancaman pencerobohan pengganas dan penculikan oleh kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFR).

Berkuat kuasa 17 Okt tahun lepas, perintah itu dijenamakan semula kepada PKP ESS Zone melibatkan perairan berkenaan kecuali Tawau, yang didapati mempunyai tahap keselamatan memuaskan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee berkata kajian itu merupakan usaha yang signifikan memandangkan Sandakan antara kawasan memiliki komuniti maritim terbesar dan terkesan dengan pelaksanaan PKP ESS Zone.

Beliau turut memuji pencapaian cemerlang ESSCom dalam memastikan tiada lagi kes KFR direkodkan sejak 2020.

-- BERNAMA