Skip to main content

Malaysia

ETCon26: TNB bersedia ke arah Grid Adaptif, sokong ekonomi digital

ETCon26, dialog credit: TNB
Sesi dialog “Beyond Smart: Designing the Adaptive Grid” pada Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) menjadi wadah perbincangan mengenai cabaran serta keperluan membangunkan sistem grid lebih fleksibel dan berdaya tahan. - Foto TNB

KUALA LUMPUR: Peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu (RE) dan kenderaan elektrik (EV) menuntut sistem grid elektrik negara berkembang seiring dengan perubahan landskap tenaga yang semakin kompleks.

Perkara itu dibincangkan dalam sesi dialog “Beyond Smart: Designing the Adaptive Grid” pada Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) yang meneliti keperluan membangunkan grid elektrik yang lebih fleksibel, berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan corak penjanaan serta penggunaan tenaga.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ir. Ahmad Sazree Abd Aziz, berkata kemunculan sumber tenaga teragih seperti sistem solar, penyimpanan tenaga dan EV telah mengubah aliran tenaga dalam rangkaian elektrik.

Menurut beliau, sistem grid sedia ada pada asalnya direka untuk mengendalikan aliran tenaga sehala daripada penjana kepada pengguna, namun perkembangan teknologi baharu kini mewujudkan aliran tenaga dua hala yang membawa cabaran operasi baharu kepada utiliti.

“Dengan kemunculan teknologi baharu, kita melihat aliran tenaga menjadi dua hala.

"Rangkaian sedia ada pada asalnya tidak direka untuk menghadapi cabaran sedemikian,” katanya pada sesi dialog tersebut sempena Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, pada Khamis.

Image
ETCon26, dialog credit: TNB
Ahmad Sazree (kiri) dan Yang Peng (kanan) ketika sesi dialog “Beyond Smart: Designing the Adaptive Grid”. - Foto TNB

Beliau berkata perubahan itu boleh menyebabkan ketidakstabilan voltan, peningkatan tahap gangguan sistem, kesesakan rangkaian serta tekanan terhadap aset infrastruktur elektrik.

Sehubungan itu, TNB melihat keperluan untuk beralih daripada konsep grid pintar kepada grid adaptif yang bukan sahaja mampu memantau dan mengawal sistem, malah berupaya menjangka, menyesuaikan diri dan bertindak balas terhadap perubahan dalam rangkaian secara lebih pantas.

“Dalam konteks grid pintar, kita memberi tumpuan kepada kebolehpercayaan sistem.

“Namun bagi grid adaptif, fokusnya adalah kepada daya tahan rangkaian yang membolehkan sistem menjangka, menyesuaikan diri dan bertindak balas terhadap perubahan,” jelasnya.

Menurut Ahmad Sazree, penggunaan AI akan memainkan peranan penting dalam membantu utiliti mengintegrasikan data, meningkatkan keupayaan analitik serta menyokong proses membuat keputusan bagi mengurus sumber tenaga boleh baharu dan sumber tenaga teragih secara lebih berkesan.

Turut berkongsi pengalaman ialah Ketua Pegawai Teknologi dan Pengarah Jabatan Kejuruteraan dan Teknologi (HVDC Department), Yang Peng dari China Electric Power Equipment and Technology Co., Ltd., yang menjelaskan bagaimana China membangunkan sistem tenaga baharu bagi menyokong sasaran karbon negara itu.

Beliau berkata pembangunan grid masa depan memerlukan pendekatan menyeluruh yang menggabungkan penjanaan tenaga, rangkaian penghantaran, penyimpanan tenaga, pengguna dan dasar sokongan dalam satu ekosistem yang saling berkaitan.

“Semua aspek dalam sistem perlu disepadukan dan disesuaikan dengan keseluruhan sistem.

“Kita tidak boleh menyelesaikan cabaran hanya pada satu bahagian sahaja,” jelasnya.

Image
ETCon26, dialog credit: TNB
Jim Madej yang turut menyertai sesi dialog menekankan kepentingan pendigitalan dan AI dalam menempuhi era serba moden ini. - Foto TNB

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Trilliant Networks, Jim Madej, berkata pendigitalan dan AI mampu meningkatkan keterlihatan operasi grid sehingga ke peringkat pengguna melalui penggunaan meter pintar, sensor dan sistem pemantauan yang lebih canggih.

Menurut beliau, data yang dikumpulkan boleh membantu utiliti mengenal pasti perubahan corak penggunaan tenaga, mengesan gangguan rangkaian dengan lebih pantas dan mempercepatkan tindakan pemulihan.

“Apa yang sedang kami lakukan bersama TNB ialah bagaimana maklumat ini boleh diterjemahkan kepada tindakan yang mudah dan kos efektif.

“Di sinilah AI boleh memainkan peranan yang besar,” katanya.

Perbincangan itu selari dengan tema ETCon26, “Energy & AI: The Synergy for Energy Transition”, yang memberi tumpuan kepada hubungan antara transformasi digital dan peralihan tenaga.

Sesi tersebut dikendalikan Ketua Penyelidik, Dr. Subbu Sethuvenkatraman dari Commonwealth Scientific and Industrial Research Organisation (CSIRO) yang memandu perbincangan mengenai cabaran serta keperluan membangunkan sistem grid lebih fleksibel dan berdaya tahan dalam menghadapi peningkatan penggunaan tenaga boleh baharu, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi tenaga baharu.

Image
ETCon26, dialog credit: TNB
Sesi dialog “Beyond Smart: Designing the Adaptive Grid” pada Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) menjadi salah satu inisiatif TNB yang menghimpunkan nama-nama besar dalam industri tenaga untuk berkongsi pandangan dan formula. - Foto TNB

Dianjurkan oleh TNB, ETCon26 menghimpunkan kira-kira 4,000 delegasi dari lebih 60 negara bagi membincangkan masa depan tenaga, AI, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi mampan.

Must Watch Video

Advertisement