DALAM amalan berpersatuan perlunya ada nilai etika dan kebersamaan yang bertujuan sebagai tatalaku yang diterima pakai oleh seluruh ahli persatuan.

Menjadi kewajipan kepada setiap ahli menyelami nilai etika dan kebersamaan organisasi yang disertai agar tujuan dan sebab mereka menjadi ahli adalah jelas dan selari dengan jangkaan masing-masing.

Adalah malang sekiranya keahlian hanya dilihat dari sisi “apa yang aku akan dapat?” walhal pada masa yang sama “apa yang aku boleh beri?” turut merupakan agenda penting dalam berpersatuan.

Sebagai sebuah dewan yang memayungi usahawan muslim, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) sentiasa meletakkan nilai etika dan kebersamaan dalam berpersatuan sebagai asas penting kekuatan integriti organisasi, profesionalisme dalam gerak kerja serta urus tadbir (good governance) dewan yang baik.

Pada masa sama, DPIM turut membentuk acuannya sendiri berasaskan visi menjadikan DPIM wadah perjuangan bisnes berteraskan Al-Quran dan As Sunnah serta misi yang jelas iaitu menjayakan jihad bisnes dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah kepada Ummah.

Visi dan misi DPIM inilah yang merupakan intipati penting yang meletakkan dan membezakan hala tuju dan perjuangan setiap ahli DPIM berbanding organisasi lain.

Maka adalah tidak beretika sekiranya landasan dan penghayatan setiap organisasi dan persatuan yang berbeza-beza cuba dijustifikasikan oleh segelintir pihak sebagai mewakili perjuangan yang sama hanya kerana dewan dan persatuan mewakili sebahagian besar usahawan muslim di negara ini.

Perlu dijelaskan setiap organisasi berupaya menjadi juara kepada ramai usahawan muslim, namun perlu juga ditegaskan bahawa cara dan pendekatan organisasi masing-masing pasti berbeza mengikut undang-undang tubuh dan perlembagaan organisasi seperti yang telah termaktub.

Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim di dalam kertas kerja bertajuk ‘Memanfaat Nilai Bersama DPIM’ menekankan bahawa acuan DPIM adalah menjurus kepada ‘bersengat’ berbanding ‘bertaring’.

Ini adalah selari dengan nilai-nilai kebersamaan yang diterima dalam DPIM sendiri yang berlandaskan nilai-nilai murni Islam.

Menurut beliau, bersengat boleh diibaratkan seperti seekor lebah yang memberi manfaat melalui madu yang berkhasiat dan sentiasa patuh dengan sunatullah seekor lebah kepada Penciptanya agar kehidupannya mendapat berkat.

Namun begitu, apabila keadaan mendesak, bila mana kedudukan ekonomi umat Islam dan keimanan usahawan muslim terancam, ‘lebah’ boleh ‘menyengat’ demi menegakkan kebenaran dan menggerakkan seluruh keupayaan bisnesnya di atas nama jihad.

Yang paling utama manfaat daripada ‘lebah yang menyengat’ tidak sekadar memberi kebaikan kepada golongan bisnes semata-mata malah turut dikongsi dengan golongan yang tidak terlibat dengan bisnes secara khusus.

Bagi beliau, pegangan inilah yang akan membezakan ahli DPIM dengan organisasi lain kerana tanpa mengenepikan seluruh ‘stakeholders’ atas kepentingan agama, bangsa dan negara akan menghindarkan nilai nafsu-nafsi demi keadilan yang lebih saksama.

Menjadi tanggungjawab organisasi/persatuan usahawan muslim menggerakkan inisiatif untuk seluruh umat Islam Malaysia membina bisnes.

Ini perlu dijayakan bagi memenuhi hasrat kerajaan mengangkat martabat umat Islam Malaysia yang masih terpinggir dari segi bisnes.

Melalui nilai etika dan kebersamaan DPIM, perkara yang paling dimartabatkan adalah nilai yang terkandung dalam huruf ‘I’ iaitu Islam itu sendiri.

Ia merangkumi konsep yang lebih luas iaitu konsep Ilmu, Ikhtiar, Ikhlas dan Ihsan.

Keseluruhan kefahaman konsep-konsep Islam ini akan menjurus setiap ahli DPIM untuk beriman kepada Allah sebagai tunjang pegangan dalam menjalankan aktiviti bisnes.

Kesimpulannya, nilai etika dan kebersamaan dalam DPIM adalah asas untuk seluruh ahli-ahli terima dan bawa dalam gagasan besar Jihad Bisnes.

Dengan berusaha menjadikan bisnes jalan untuk memartabatkan ekonomi maka tidak lagi timbul persoalan keuntungan individu semata-mata kerana di dalam DPIM apa yang diperjuangkan adalah bisnes untuk kepentingan ummah.

Di atas etika dan kebersamaan seluruh ahli DPIM dalam berorganisasi akan membina budaya bisnes secara Islami yang akhirnya memberi manfaat apabila seluruh ahli turut membina bisnes selaras dengan tabiat Islami.


Mohsein Shariff adalah Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.