KUALA LUMPUR:Kesatuan Eropah (EU) dan Belgium hari ini memberi jaminan perjanjian pembekalan vaksin Pfizer kepada Malaysia akan dapat ditunaikan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Khairy dalam satu kenyataan hari ini berkata dengan jaminan daripada Duta EU dan Belgium, pelan imunisasi COVID-19 dijangka diteruskan seperti yang dirancangkan.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) maklum mengenai pengumuman terbaharu kawalan eksport oleh EU ke atas vaksin COVID-19 yang dikeluarkan di dalam negara kesatuan itu.

"Hari ini saya mengadakan perbincangan dengan Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas dan Duta Belgium ke Malaysia, Pascal H Gregoire untuk penjelasan lanjut mengenai status penghantaran vaksin ini ke Malaysia.

Berkenaan vaksin Pfizer yang dikeluarkan di Puurs, Belgium, Duta Belgium itu telah memberi jaminan bahawa perjanjian pembelian dengan Pfizer akan dapat ditunaikan selepas Pfizer memohon untuk kelulusan mengeksport dan vaksin itu akan dihantar mengikut jadual mulai bulan ini.

Justeru, Kerajaan Malaysia telah meminta Pfizer untuk memohon kelulusan mengeksport daripada Kerajaan Belgium dengan segera," kata beliau sambil menambah Kedutaan EU dan Belgium di Malaysia akan mengeluarkan kenyataan mengenai jaminan bekalan ini.

Khairy berkata untuk rekod, penghantaran pertama satu juta dos (untuk 500,000 penerima) vaksin Pfizer akan digunakan dalam Fasa Satu inokulasi barisan hadapan dan akan dihantar secara berperingkat dalam suku pertama tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan semalam berkata Malaysia dijangka menerima kumpulan pertama vaksin koronavirus Pfizer-BioNTech pada 26 Feb ini.

-- BERNAMA