BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) terbuka untuk turut serta dalam menangani isu yang dibangkitkan oleh Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) mengenai ketidakadilan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang boleh menjejaskan perdagangan bebas, adil dan saksama.

Sambil menyifatkan mesyuarat peringkat tinggi buat kali pertama dengan EU sebagai satu langkah ke hadapan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penglibatan berterusan dalam beberapa bulan akan datang adalah penting dalam menjaga kepentingan industri, terutamanya bagi pekebun kecil di Malaysia dan Indonesia.

"Secara umum saya berpuas hati terutamanya kerana majoriti pemimpin utama Kesatuan Eropah yang kita temui hari ini bersetuju dengan pandangan kita."

"Mereka mendengar dan mengetahui apa sahaja luahan kita berhubung dengan kesukaran mematuhi EUDR," kata Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi kepada media Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan lima pemimpin utama EU pada Rabu.

Indonesia diwakili oleh Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi (KOMENKO) , Dr. (H.C) Ir. Airlangga Hartarto.

Pertemuan diadakan dengan Pesuruhjaya Alam Sekitar, Lautan dan Perikanan, Virginijus Sinkevicius, Wakil Tinggi bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan Kesatuan Eropah, Josep Borrell-Fontelle serta Naib Presiden Eksekutif Eropah untuk Perjanjian Hijau dan Pesuruhjaya Tindakan Iklim Dasar, Frans Timmermans.

Para menteri itu turut mengadakan perjumpaan dengan Naib Presiden Parlimen Eropah, Heidi Hautala dan Pengerusi Perdagangan Antarabangsa, Bernd Lange.

Pada pertemuan itu, katanya, kelima-lima pemimpin EU berkenaan mengambil serius pandangan CPOPC, diskriminasi dan tindakan unilateral seperti EUDR yang boleh memberi impak kepada pekebun kecil.

"Walaupun undang-undang tersebut telah diluluskan, kita telah menyampaikan rasa tidak puas hati negara-negara pengeluar khususnya Malaysia dan Indonesia, termasuk juga negara lain yang menjadi pengeluar kerana undang-undang ini dibuat tanpa perbincangan," jelas Fadillah.

"Apa yang kita mahu adalah apabila mereka mengeluarkan garis panduan nanti, mereka juga perlu mengiktiraf apa sahaja usaha yang kita telah lakukan," katanya.

Bagi Malaysia, ianya termasuk inisiatif untuk menghentikan penanaman di kawasan tanah gambut dan mengetatkan peraturan berhubung penanaman kelapa sawit sedia ada di tanah gambut, mengharamkan penukaran kawasan hutan simpan untuk penanaman kelapa sawit dan berjanji untuk menyediakan peta perladangan sawit untuk akses orang ramai.

Selain itu, pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Glasgow (COP26), Malaysia mengumumkan sasaran pelepasan gas rumah hijau (GHG) bersih-sifar seawal tahun 2050.

Malaysia juga komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan hutan seperti ikrar yang dinyatakan pada Sidang Kemuncak Bumi Rio pada 1992.

Pada masa ini, litupan hutan Malaysia adalah sebanyak 55.3 peratus.

Fadillah seterusnya berkata, kerajaan Malaysia amat komited terhadap dasar utama berkaitan minyak sawit mampan.

Pasukan petugas, perbincangan

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, CPOPC telah mencadangkan supaya diadakan penglibatan melalui sama ada pasukan petugas (task force) ataupun perbincangan.

"Secara prinsipnya, kami (Malaysia, Indonesia dan majoriti pemimpin utama EU yang adakan pertemuan hari ini) bersetuju untuk mengadakan penglibatan, sama ada ianya akan dilakukan menerusi dialog, pasukan petugas atau apa juga mekanisme yang akan dipersetujui nanti."

Selain itu, Fadillah menyatakan bahawa Naib Presiden Parlimen Eropah, Heidi Hautala memaklumkan mereka telah mengadakan dialog dengan industri koko.

"Ia menunjukkan ia boleh dilakukan. Jadi, kami akan terus mengadakan perbincangan," katanya.

Fadillah juga berkata, apa-apa mekanisme yang akan diguna pakai kelak perlu melibatkan negara-negara pengeluar, peserta industri, wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pekebun kecil agar ada kejelasan (clarity) dari segi garis panduan yang dikeluarkan serta tidak meminggirkan mana-mana pihak.

Sementara itu, beliau menambah, pihak EU akan ke Indonesia dan Malaysia untuk mengadakan interaksi dengan semua pihak terbabit.

"Di situ kita akan berbincang dengan lebih terperinci berhubung kait dengan teknikal yang kita suarakan dan diharapkan daripada situ, mereka boleh membawa balik dan apa-apa garis panduan yang mereka keluarkan nanti akan mengambil kira pandangan daripada kita," katanya.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Fadillah dan misi ke EU adalah misi bersama kerajaan Indonesia di bawah CPOPC.

Jika digabungkan, Malaysia dan Indonesia menyumbang lebih 80 peratus kepada pasaran minyak sawit global. - BERNAMA