CROATIA 1 REPUBLIK CZECH 1

Ivan Perisic memastikan Croatia mengikat Republik Czech 1-1 selepas Patrick Schick menjadi pendahulu senarai penjaring terbanyak Euro 2020 dengan gol sepakan penalti kontroversinya awal pagi tadi.

Schick menjaringkan gol berganda, termasuk satu jaringan jarak jauh, ketika Republik Czech menewaskan Scotland 2-0 dalam perlawanan pembukaan di Hampden Park, Isnin lalu dan kali ini, dia meletakkan pasukannya di depan menerusi sepakan penaltinya di venue sama.

Croatia ternyata tidak berpuas hati selepas Dejan Lovren dipersalahkan gara-gara dilihat secara tidak sengaja menyiku hidung Schick dan video bantuan pengadil (VAR) meminta Carlos del Cerro untuk menyemak insiden itu melalui monitor di tepi padang dalam babak pertama.

Perisic kemudian menyamakan kedudukan pada awal babak kedua untuk memastikan Croatia hanya ketinggalan tiga mata di belakang Republik Czech dan England.

Aksi hambar dalam separuh masa pertama akhirnya mencetuskan sensasi apabila pengadil dari Sepanyol, Del Cerro, memberikan sepakan penalti buat Republik Czech yang membuatkan Lovren terkejut dan keliru kerana dia tidak berniat untuk menyiku Schick ketika perebutan bola di udara susulan satu sepakan penjuru.

Hidung penyerang Republik Czech itu itu kelihatan berdarah tetapi dia sendiri mengambil sepakan penalti itu untuk menewaskan Dominik Livakovic pada lapan minit terakhir sebelum waktu rehat.

Ante Rebic mensia-siakan peluang untuk menyamakan kedudukan beberapa minit selepas insiden itu apabila sepakannya, susulan hantaran Jasip Brekalo, tersasar dari sasaran.

Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic, melakukan dua pertukaran selepas waktu rehat dengan menggantukan Brekalo dan Rebic dengan Lika Ivanusec dan Bruno Petkovic.

Hasilnya, naib juara Piala Dunia 2018 itu hanya memerlukan dua minit untuk menyamakan kedudukan apabila Perisic melakukan larian dari sebelah kiri sebelum melepaskan rembatan kaki kanan yang menewaskan penjaga gol, Tomas Vaclik.

Kedua-dua pasukan gagal mencari gol kemenangan dan tekanan kini lebih dirasai Croatia menjelang misi wajib menang ke atas Scotland dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan D awal pagi Rabu depan.