Sukan SEA: Sanjay, Duncan "dalam radar" untuk Sukan Asia 2026 - Ajaz

Sanjay (kiri) dan Duncan bertemu pada perlawanan akhir perseorangan skuasy lelaki Sukan SEA Thailand, semalam. - Gambar/ Bernama
BANGKOK: Ketua jurulatih skuasy kebangsaan Ajaz Azmat percaya beberapa pemain daripada skuad Sukan SEA Thailand 2025 mempunyai peluang tinggi untuk disenaraikan dalam pasukan negara bagi Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.
Ajaz berkata pemenang pingat emas perseorangan lelaki Sanjay Jeeva dan pemenang pingat perak Duncan Lee adalah antara pemain yang diperhatikan susulan prestasi memberangsangkan mereka pada temasya kali ini dan peningkatan konsistensi di pentas antarabangsa.
"Ya, memang ada peluang untuk Sanjay Jeeva dan Duncan Lee kerana masing-masing berada di kedudukan kedua dan keempat dalam kalangan pemain Malaysia berdasarkan ranking dunia PSA (Persatuan Skuasy Profesional).
"Seorang daripada mereka berkemungkinan terpilih untuk Sukan Asia ... sama ada dalam acara beregu campuran atau perseorangan," katanya ketika ditemui di sini.
Jurulatih dari Pakistan itu berkata pemain yang tidak berada dalam skuad temasya dwitahunan edisi ke-33 itu seperti Ameeshenraj Chandaran dan Mohammad Syafiq Kamal turut dipertimbangkan, sambil menegaskan pemilihan akhir akan dibuat menjelang Sukan Asia 2026.
Berdasarkan ranking dunia PSA, Ng Eain Yow kini merupakan pemain nombor satu Malaysia dengan kedudukan ke-17, diikuti Sanjay (ke-60), Ameeshenraj (ke-80), Duncan (ke-92) dan Mohammad Syafiq (ke-126).
Sukan Asia 2026 akan berlangsung dari 4 Sept hingga 4 Okt tahun depan.
Ajaz berkata prestasi cemerlang Malaysia pada Sukan SEA Thailand 2025 mencerminkan kemunculan generasi baharu pemain yang mampu mengekalkan kejayaan negara dalam sukan skuasy.
Beliau berkata kejayaan skuad menyapu bersih keempat-empat pingat emas yang dipertandingkan, selain pendedahan berharga yang diperoleh pemain yang membuat penampilan pertama dalam temasya itu, membuktikan pembangunan bakat dalam pasukan kebangsaan.
"Saya yakin mereka akan terus meningkat ke tahap seterusnya pada masa hadapan," katanya.
Ajaz turut optimis bahawa kelompok pemain kini sudah bersedia membawa cabaran Sukan SEA akan datang serta mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara.
Selain Sanjay, tiga pemenang pingat emas negara yang lain ialah Noor Ainaa Amani Ampandi (perseorangan wanita), Harith Danial Jefri-Sehveettrraa Kumar (beregu campuran) dan Harith Danial-Low Wa Sern (beregu lelaki).
Sukan SEA Thailand 2025 yang bermula dari 9 Dis lepas, menutup tirai hari ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


