Ewon serah surat letak jawatan, tumpu kepada agenda ‘Sabah First’ Upko

Ewon serah surat rasmi letak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kepada PM Anwar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Datuk Ewon Benedick hari ini mengumumkan bahawa beliau telah menyerahkan surat rasmi peletakan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam kenyataan di laman Facebook rasminya, Ewon memaklumkan bahawa beliau juga mula mengambil cuti terakhirnya bermula hari ini susulan keputusan tersebut.
“Petang ini, saya akan mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tertinggi Upko bagi membincangkan agenda ‘Sabah First’ — satu prinsip yang telah lama menjadi panduan perjuangan Upko dan termaktub dalam perlembagaan parti,” katanya.
Keputusan Ewon untuk melepaskan jawatan dibuat selepas beliau tidak bersetuju dengan pendirian Kerajaan Persekutuan berhubung isu tuntutan Sabah terhadap 40 peratus hasil pendapatan negeri.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, Ewon bagaimanapun akan kekal sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah buat masa ini walaupun tidak lagi berada dalam Kabinet Persekutuan.
“Gabungan ini terus mengiktiraf dan menghormati kepimpinan beliau di peringkat negeri,” katanya.
Upko merupakan salah satu daripada empat komponen utama dalam Pakatan Harapan (PH).
Setakat ini, pakatan pilihan raya antara PH dan Upko di Sabah masih belum dimuktamadkan sepenuhnya, dengan hanya 18 daripada 23 kerusi diumumkan.
PKR mengumumkan 10 kerusi malam tadi, manakala DAP mengumumkan tujuh kerusi pada Sabtu. Parti Amanah setakat ini hanya mengumumkan satu kerusi, sementara Upko dijangka mengumumkan senarai calon dan kerusinya selewat-lewatnya 14 November ini.
Ewon, yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, sebelum ini menyatakan kekecewaannya terhadap cara Kerajaan Persekutuan mengendalikan isu hasil 40 peratus Sabah.
Beliau menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bertarikh 17 Oktober telah mengesahkan hak perlembagaan Sabah untuk menerima 40 peratus daripada hasil bersih persekutuan yang dikutip dari negeri itu antara 1974 hingga 2021.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian memaklumkan bahawa pihaknya akan meneliti alasan penghakiman secara terperinci dan mempertimbangkan semua opsyen undang-undang sebelum mengambil tindakan lanjut.
Ewon menyifatkan pendirian itu sebagai bercanggah dengan prinsip ‘Sabah First’ yang menjadi asas perjuangan Upko, serta menegaskan bahawa hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dihormati tanpa sebarang kelewatan.
“Adalah tidak wajar untuk saya terus berada dalam Kabinet sedangkan pendirian saya berbeza dengan Kerajaan Persekutuan,” ujar beliau.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

