FACEBOOK merupakan laman media sosial terbesar dunia, dan salah satu sumber pendapatan utamanya adalah berasaskan pengiklanan. Dalam usaha menyasarkan iklan dengan baik – sekali gus mengutungkan pengiklan dan juga pengguna, Facebook mengumpulkan sejumlah data pengguna yang menggunakan platform mereka.

Terbaharu, mengikut pemfailan saman di mahkamah, Facebook dikatakan pernah suatu ketika dahulu mempertimbangkan untuk membayar pengguna yang menggunakan platform berkenaan. Namun, idea berkenaan ditolak dan tidak diteruskan.

Mengikut penilaian kasar, dianggarkan Meta atau Facebook mungkin perlu membayar sekitar $5 sebulan untuk setiap pengguna. Sekiranya memilih langkah berkenaan, ia mungkin membawa kos yang sangat tinggi kepada Meta, memandangkan Facebook kini mempunyai lebih 3 bilion pengguna.

Pada hari ini, Meta masih menjana pendapatan utama mereka melalui pengiklanan. Namun, untuk pasaran Eropah, Meta turut menawarkan perkhidmatan menggunakan Facebook tanpa iklan atau penjejak – tetapi pengguna perlu melakukan bayaran bulanan kepada Meta, atau memilih membenarkan penjejak pada akaun mereka. - Amanz