Skip to main content

Malaysia

Op Luxury: Kenderaan bekas pemain bola sepak kebangsaan, pakar motivasti antara disita JPJ

KUALA LUMPUR - Kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire dan Mercedes Benz Brabus AMG masing-masing milik bekas pemain bola sepak kebangsaan serta pakar motivasi keusahawanan bergelar Datuk disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Op Luxury.
Mercedes Benz Brabus AMG milik pakar motivasi bergelar Datuk disita JPJ menerusi Op Luxury. - Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Kenderaan mewah milik seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan dan pakar motivasi antara 1,814 kenderaan yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Operasi Khas Kenderaan Mewah (Op Luxury) di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Datuk Jazmanie Shafawi berkata daripada jumlah itu, 915 kenderaan pelbagai jenama termasuk Porsche dan Lamborghini dikesan dan disita tahun ini, manakala 899 kenderaan disita tahun lepas antaranya kerana gagal memperbaharu Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Beliau berkata sitaan kenderaan bekas pemain bola sepak kebangsaan itu dilakukan pada awal pagi semalam berikutan tiga kesalahan iaitu ketiadaan perlindungan insurans serta LKM dan lesen memandu yang tamat tempoh sejak Disember tahun lepas.

"Dalam tempoh sudah lima bulan, bekas pemain tersebut masih gagal mendapatkan insurans dan juga LKM yang sah untuk kenderaannya," katanya pada sidang media di Depoh Sita JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di sini malam tadi.

Turut hadir Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan. 

Jazmanie berkata kenderaan pakar motivasi yang dianggarkan bernilai lebih RM500,000 pula ditahan di Lebuhraya Damansara-Puchong berikutan kesalahan LKM tamat tempoh hampir sebulan, ketiadaan insurans serta masih mempamerkan nombor pendaftaran lama walaupun kenderaan telah dibuat pertukaran nombor.

Beliau menegaskan kegagalan memperbaharu LKM merupakan satu kesalahan serius di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak JPJ tidak berkompromi untuk mengenakan tindakan kompaun serta sitaan ke atas kenderaan terlibat.

"Alasan biasa yang dikemukakan pemilik kenderaan ini adalah terlepas pandang, namun ia tidak munasabah kerana aplikasi MyJPJ sebenarnya akan mengeluarkan notis peringatan apabila lesen kenderaan hampir tamat tempoh,” katanya.

Jazmanie berkata penggunaan kenderaan tanpa LKM yang sah mengundang risiko besar kepada pemilik serta pengguna jalan raya lain kerana kenderaan berkenaan tidak dilindungi insurans sekiranya berlaku kemalangan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement