Fahmi tampil jelas isu serangan, kritikan lantikan anggota Kabinet baharu

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media mingguan di Auditorium Seri Angkasa hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR : Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil tampil memberikan penjelasan berhubung kritikan dan serangan terhadap beberapa pelantikan menteri serta timbalan menteri susulan rombakan Kabinet baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberikan penjelasan berkenaan kritikan terhadap pelantikan Hannah Yeoh dan Datuk Lo Su Fui sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, menyatakan pelantikan mereka adalah untuk menguruskan portfolio Wilayah Persekutuan.
- Fahmi menjelaskan bahawa Hannah Yeoh dan Datuk Lo Su Fui akan dirujuk kepada Perdana Menteri dalam segala keputusan berkaitan portfolio mereka, dan Perdana Menteri sentiasa memantau tindakan mereka.
- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, memberikan penjelasan terperinci mengenai isu 'Justice for Zara' dan kutipan dana, sementara Adam Adli Abdul Halim, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, dilihat mempunyai ruang untuk melaksanakan idea-idea lama secara praktikal.
"Pelantikan Hannah Yeoh adalah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan portfolio Wilayah Persekutuan dan bukannya Kementerian Wilayah Persekutuan seperti sebelum ini.
"Ini bermakna ketua kepada menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah Perdana Menteri," katanya pada sidang media mingguan di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut Fahmi menjelaskan, segala tindakan dan keputusan berkaitan portfolio itu akan dirujuk kepada Perdana Menteri, selain Mesyuarat Pasca Kabinet lazimnya turut disertai semua menteri di Jabatan Perdana Menteri.
"Oleh itu, dari segi pengurusan, tidak timbul isu kononnya tiada pemantauan kerana Perdana Menteri sentiasa memantau dan akan menyampaikan nasihat atau arahan sekiranya perlu," ujarnya.
Sementara itu, Fahmi berkata Hannah Yeoh turut memaklumkan kepadanya yang Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, ada menghubunginya susulan beberapa kenyataan di media sosial yang didakwa telah disalah tafsir oleh sebuah portal berita dalam talian.
“Perkara itu merupakan salah tafsiran oleh pihak media terbabit dan cubaan mengadu domba, namun ia telah diperjelaskan,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, juga telah memberikan penjelasan tuntas berhubung pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadapnya.
Menurutnya, isu berkaitan kempen ‘Justice for Zara’ termasuk kutipan dana dijelaskan dengan terperinci dan mematuhi semua peraturan serta syarat yang ditetapkan.
"Beliau turut menjelaskan bahawa kutipan dana berkenaan mendapat kelulusan dan sokongan pihak berkuasa berkaitan ketika itu, selain namanya tidak terlibat dalam akaun yang mengutip dana tersebut," katanya.
Fahmi berkata, justeru beliau tidak melihat isu itu sebagai sesuatu yang serius, sebaliknya serangan terhadap Marhamah lebih banyak berlaku di media sosial dan sudah dijawab dengan baik.
Mengulas kritikan terhadap Adam Adli berkaitan isu pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Fahmi menyifatkan amalan mengungkit kenyataan lama ahli politik sebagai perkara biasa dalam arena politik.
"Perdana Menteri sendiri sering dikaitkan dengan janji menurunkan harga minyak, malah pemimpin lain juga sering diingatkan dengan kenyataan lama mereka," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


