ALOR SETAR: Hujan lebat berterusan selama dua jam menyebabkan beberapa kawasan di daerah Bandar Baharu, iaitu Mukim Sungai Batu, Mukim Selama, Mukim Bagan Samak dan Mukim Serdang dinaiki air malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata sebanyak 17 rumah terjejas setakat 11 malam tadi.
“Sebanyak 12 rumah terjejas di Kampung Sungai Tengas, dua rumah di Kampung Air Itam Dalam dan masing-masing sebuah rumah di Kampung Cherok Meranti, Kampung Paya Salak dan Kampung Batu Hampar.
“Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka, iaitu di Dewan KEDA Sungai Tengas bagi menempatkan tujuh keluarga yang terjejas,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Abdul Rahim berkata keadaan di daerah berkenaan malam tadi masih hujan renyai dan paras air Sungai Tengas menunjukkan trend menaik.
Beliau bagaimanapun berkata paras air di Sungai Air Itam Dalam dan Kampung Cherok Meranti telah menunjukkan trend menurun.
Menurut Abdul Rahim, pihaknya melakukan pemantauan di Sungai Terunsing dan Sungai Terap Dalam yang kini masih berada pada paras bahaya manakala paras air di Sungai Punti berada pada paras normal.
-- BERNAMA