Langkah memfailkan rayuan selepas gagal dalam tuntutan saman terhadap Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah berhubung isu pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Australia adalah yang terbaik berdasarkan prinsip menghormati sistem perundangan serta badan kehakiman di negara ini.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, tindakan itu diambil atas dasar memerangi budaya fitnah dan tuduhan tanpa asas dari menjadi kebiasaan dalam suasana politik negara.

"Pertamanya ingin saya menyatakan pendirian bahawa saya menghormati keputusan hakim pada hari ini. Namun, sebagai seorang warganegara yang mempunyai hak yang tertakluk dalam sistem perundangan, saya telah mengarahkan peguam saya untuk memfailkan rayuan.

"Apatah lagi sekiranya tuduhan itu dibuat untuk mengaut laba politik serta bertujuan untuk memalukan pihak yang dituduh dan bukannya atas dasar mencari kebenaran.

"Kalau benar ada bukti dan tuduhan itu mempunyai asas, seseorang warganegara itu wajar membuat laporan kepada pihak berkuasa yang berkaitan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Khairul Azwan mengulas keputusan Hakim S. Nantha Balan dalam yang berkata, tidak menafikan nama Khairul Azwan telah disebut dalam kenyataan akhbar Rafizi berhubung hartanah tersebut memang memalukannya.

Namun begitu, kenyataan tersebut pada hemat Hakim Nantha Balan, bukan membawa maksud yang Khairul Azwan terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa berhubung hartanah berkenaan.

Sebaliknya kenyataan itu bagi Hakim Nantha Balan adalah komen yang menuntut penjelasan daripada Khairul Azwan berhubung transaksi tersebut.

Oleh itu jelas Khairul Azwan, dia mengambil keputusan untuk meneruskan tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Tidak seperti pihak tertentu, saya tidak bercadang untuk mencanang kisah dongeng konspirasi, menyerang keperibadian hakim atau meminta sesiapa untuk turun protes di jalanan semata-mata kerana keputusan mahkamah hari ini tidak memihak kepada saya," katanya.

Dalam saman itu, Khairul Azwan selaku pihak plaintif menyatakan, Rafizi yang dinamakan sebagai pihak defendan telah mengedarkan dan menerbitkan kenyataan fitnah terhadapnya ketika mengadakan sidang akhbar di pejabat Rafizi di Pusat Perkembangan Minda Uni Infiniti pada 6 Julai tahun lalu.