HARI ini, figura utama arena politik mendaftarkan diri untuk bertanding di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Bahang PRU14 semakin terasa.

Dalam kerancakan pemilihan wakil ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas pembubaran Parlimen pada 7 April lalu, pelbagai laporan tular di media sosial.

Fake news (berita palsu) tidak terkecuali!

Ini antara laporan yang disahkan palsu yang disiarkan sejak parlimen dibubar sehingga ke hari penamaan calon.

1. Pesawat terbesar di dunia bawa pengundi warga Bangladesh

Tular di media sosial yang mendakwa pesawat terbesar di dunia Antonov An-225 Mriya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 April 2018, kira-kira jam 7.10 pagi membawa 60 ribu pengundi warga Bangladesh.

Namun, pesawat itu sebenarnya mendarat sempena penerbangan komersial sulung ke Malaysia setelah melalui kerja menaik taraf lebih setahun lepas.

Pesawat kargo gergasi Ukraine itu sudah tidak asing di KLIA.

Ia pernah mendarat dua kali di sini iaitu pada 2007 dan 2016 sebagai pesawat pengangkut barangan komersial. Malaysia adalah tempat persinggahan ketiga pesawat itu selepas Leipzig, Jerman dan Dammam, Arab Saudi bagi penghantaran kargo berat.

5 berita palsu sejak parlimen dibubar

2. Penemuan wang tunai dalam kenderaan pemimpin ahli politik

Tular di media sosial dakwaan sejumlah wang tunai ditemui di dalam sebuah kereta milik pemimpin ahli politik yang terlibat dalam kemalangan di Kota Kinabalu, Sabah.

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bertindak pantas untuk menafikan mesej yang tular di media sosial berhubung terkorbannya seorang ahli Parlimen susulan penemuan sejumlah wang ditemui dalam kenderaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Mohd Farhan Lee Abdullah menolak dakwaan tersebut. Beliau dipetik sebagai berkata, “ini adalah berita palsu. Apabila pihak polis memeriksa tempat kejadian, mereka tidak menemui apa-apa wang, sama ada di dalam kotak atau kenderaan itu sendiri”.

Kemalangan di Jalan Kota Kinabalu

3. Datuk Seri Wee Ka Siong di ‘boo’

Satu video tular mengaitkan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang didakwa di‘ boo’ ketika mengadakan lawatan rasmi di Johor Bahru pada awal April.

Video itu sebenarnya dirakam pada 2012 sewaktu Ka Siong menyandang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan mengantikan Menteri Pendidikan ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menghadiri perhimpunan Dongdong.





4. Wakil rakyat minta warga asing mengundi

Sebuah video tular di media sosial semalam mendakwa seorang wakil rakyat yang mewakili sebuah parti politik kononnya meminta seorang pendatang asing untuk mengundi mereka.

Video yang tular menampakkan seorang lelaki sedang berkomunikasi dengan seorang lelaki yang didakwa sebagai warga asing.

Namun, video yang tersebar itu bukanlah seperti yang didakwa oleh pihak yang menularkan kandungan tersebut.

Apa yang berlaku sebenarnya ialah lelaki yang didakwa sebagai warga asing itu merupakan warga tempatan yang mengalami kerugian besar selepas kedai motosikalnya terbakar di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Susulan kejadian itu, wakil daripada parti itu telah menyumbang dana bernilai RM3,000 kepada pemilik kedai tersebut dengan harapan untuk mengurangkan bebannya.

5. Jari palsu untuk tujuan penipuan

Tersebar luas sebuah mesej yang dikitar semula, mendakwa kononnya jari palsu bakal digunakan pada PRU14 bagi tujuan penipuan dalam penggunaan dakwat kekal.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan perkara tersebut dan memberi jaminan bahawa tidak akan membiarkan jari palsu digunakan pihak tertentu bagi tujuan penipuan dalam pilihan raya umum akan datang.

SPR telah mengenal pasti bahawa sumber imej tersebut diambil daripada internet yang tersebar di sebuah negara jiran.

Sumber asal imej tersebut disyaki dipetik daripada laman akikofujita.com yang menyiarkan artikel tulisan Shintaro Hasyahi yang bertajuk ‘Prosthetic Fingers Help Reform Former Yakuza Members’ yang disiarkan pada 16 Dis 2013.

Imej tersebut kemudiannya digunakan oleh pihak tertentu di Indonesia yang kononnya akan digunakan dalam Pilihan Raya Serentak Indonesia 2017 yang sedang berlangsung dan ditularkan.

SPR memberi jaminan bahawa proses pilihan raya yang kendalikan oleh badan berkenaan adalah bersih, telus dan bebas daripada sebarang penipuan dan penyelewengan.

Jari palsu