Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui menyifatkan dakwaan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua bahawa kerajaan persekutuan 'menyelamatkan' Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) melibatkan dana yang kini meningkat kepada RM3.41 bilion sebagai karut.

Ketika menafikan 'fakta yang diputarbelit' Pua itu, Chin berkata dari segi industri air, kerajaan persekutuan tidak pernah menyelamatkan mana-mana pihak tetapi ia mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat, terutamanya bagi memastikan bekalan air mencukupi.

"Dari segi penggunaan air oleh rakyat dan untuk pembangunan negara, ia menjadi satu keutamaan bagi kerajaan persekutuan. Sebab itulah sebuah kementerian khusus mengenai (isu) air ditubuhkan," katanya.

Isnin lepas, Pua, Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara daripada DAP, mendakwa peruntukan tambahan RM120 juta bagi menaik taraf kemudahan air yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak minggu lepas, menjadikan jumlah dana untuk 'menyelamatkan' Syabas daripada kerajaan persekutuan kini meningkat menjadi RM3.41 bilion dalam tempoh empat tahun.

Chin berkata kerajaan persekutuan tidak pernah mengambil alih bon yang keluarkan oleh Syabas dan tiga lagi pemegang konsesi -- Puncak Niaga, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (Splash) dan Konsortium Abass. Sebaliknya, apa yang dilakukan adalah membeli atas dasar 'berminat membeli, berminat menjual'
daripada pemegang bon, terdiri daripada beberapa institusi korporat terkemuka.