KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan pemilik syarikat pembungkusan minyak masak subsidi, Datuk Mohd Farid Mohamad Ali atas tuduhan kes tuntutan palsu pembekalan minyak masak kepada syarikat-syarikat peruncit yang dihadapinya pada 2020.

Farid menerusi kenyataan merakamkan kesyukuran selepas hakim memberikan perintah ‘dibebaskan dan dilepaskan’ (Discharge Amounting to Acquittal (DAA)) sebelum perbicaraan kes ini dimulakan.

"Sebenarnya pada 20 Jun 2022 hasil daripada justifikasi dan penerangan di dalam representasi yang dikemukakan oleh pihak saya, maka pihak pendakwa raya telah menarik balik kesemua pendakwaan ke atas saya dan susulan daripada itu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah memberikan perintah ‘dilepaskan tanpa dibebaskan’ kepada saya pada tarikh tesebut.

"Di mana segala wang jaminan dan pasport antarabangsa saya juga diperintahkan untuk dilepaskan dan dikembalikan berkuatkuasa pada tarikh 20 Jun 2022.

"Susulan daripada itu, saya melalui peguam saya Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos telah membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Mac 2023 untuk meminda keputusan ‘dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA)’ kepada ‘dilepaskan dan dibebaskan (DAA)’," katanya.

Beliau berkata pada sesi pengurusan kes pada 14 April lalu, pihak pendakwaan memaklumkan mereka tiada bantahan kepada permohonannya itu.

"Justifikasi terhadap permohonan ini adalah kerana kesemua pendakwaan ke atas saya telah ditark balik pada 20 Jun 2022 dan segara dokumen-dokumen dan telefon bimbit juga telah dikembalikan oleh pihak SPRM sejak dari tahun lepas lagi.

"Susulan dari itu, Yang Mulia Hakim pada hari ini 10 Mei 2023 telah memberikan perintah ‘dilepaskan dan dibebaskan (DAA)’ kepada saya," katanya.

Farid menambah berkat kesabaran dan mengambil konsep mempertahankan maruah diri, akhirnya kebenaran terbukti dengan perintah ‘dilepaskan dan dibebaskan' yang diberikan oleh hakim pada hari ini dan lebih-lebih lagi kerana perintah itu diberikan sebelum perbicaraan kes dimulakan.

"Saya mengambil jalan yang lebih berkat dengan menjadi pembekal utama minyak masak bersubsidi kepada asnaf Selangor walaupun keuntungannya adalah lebih kecil jika di bandingkan dengan pembekalan kepada pemborong-pemborong lain. Ternyata ianya lebih berkat kerana Allah memberi rezeki di dalam bentuk perniagaan lain kepada saya," katanya lagi.