GEORGE TOWN: Kerajaan Persekutuan secara rasmi menyerahkan Fasa 2B Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) yang bernilai RM72.5 juta kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) K.Pathmananthan berkata MDEP merupakan projek Kerajaan Persekutuan yang berjalan sejak 2011, dan Fasa 2B merujuk kepada pemasangan saluran paip air mentah berdiameter 1.6 meter (m) sepanjang 7 kilometer (km) dari Rumah Pam Mak Sulong ke Terusan Sungai Dua.

"Saluran paip itu secara efektif meningkatkan kapasiti pengeluaran Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) daripada 300 juta liter sehari (JLH) kepada 600 JLH.

"Peningkatan kapasiti pelepasan ini akan membantu Pulau Pinang dan PBAPP ketika musim kemarau yang panjang atau senario kecemasan yang melibatkan Sungai Muda, Kedah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya dalam "situasi di luar kelaziman", PBAPP kini boleh melepaskan sehingga 600 JLH air mentah daripada EMD dan 600 JLH ini akan disalurkan dari empangan ke Terusan Sungai Dua dan seterusnya ke Loji Rawatan Air Sungai Dua.

Pathmananthan berkata dua fakta penting yang perlu diperhatikan ialah EMD pada asasnya merupakan empangan kemarau strategik dan ia bukan empangan harian seperti Empangan Air Itam atau Empangan Teluk Bahang di bahagian pulau.

Beliau berkata rizab EMD hanya akan dilepaskan ketika musim kemarau dengan senario respons kecemasan apabila PBAPP tidak dapat memperoleh air mentah yang mencukupi dari Sungai Muda, dan sehingga Februari ini, LRA Sungai Dua memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 JLH air mentah untuk menghasilkan air terawat mencukupi bagi kegunaan pengguna di kawasan perkhidmatannya.

"Walaupun dengan saluran paip Fasa 2B baharu, pelepasan maksimum dari EMD ialah 600 JLH iaitu masih kurang 400 JLH. Ini bermakna EMD masih tidak dapat "menyokong sepenuhnya" Sungai Muda sebagai sumber air mentah bagi Pulau Pinang," katanya.

Katanya untuk "melindungi Pulau Pinang" daripada impak negatif insiden Sungai Muda pada masa hadapan, PBAPP mencadangkan pemasangan saluran paip tambahan bagi meningkatkan lagi kapasiti pelepasan EMD sebanyak 400 JLH, kepada 1,000 JLH.

-- BERNAMA