Felcra sedia beri kerjasama penuh kepada SPRM berhubung perolehan ladang sawit

Ahmad Jazlan Ahmad ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kampung Angkat MADANI Mukim Bukit Tiu di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu, hari ini. - Foto Bernama
MACHANG: Felcra Berhad sedia memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekiranya siasatan dijalankan berhubung perolehan pajakan ladang sawit di Sabah oleh syarikat itu.
Ringkasan AI
- Felcra Berhad bersedia bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM dalam siasatan berkenaan perolehan pajakan ladang sawit di Sabah, menegaskan bahawa setiap keputusan berkaitan pelaburan diputuskan oleh Lembaga Pengarah.
- Pengerusi Felcra, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, yakin SPRM akan menjalankan siasatan secara berhemah dan berintegriti, sambil menegaskan bahawa penambahan aset ladang adalah sebahagian daripada Transformasi 1.0 syarikat untuk menjaga kelangsungan jangka panjang.
- Penambahan ladang dilakukan tanpa melibatkan pinjaman luar, menggunakan sumber dalaman Felcra Berhad dengan membeli ladang di bawah harga pasaran menurut Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan kewangan syarikat.
"Namun, jika terdapat perkara yang menimbulkan ketidakpuasan hati atau keraguan, sudah tentu semua pihak akan dipanggil oleh SPRM untuk memberi penerangan dan penjelasan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kampung Angkat MADANI Bukit Tiu, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Jazlan menjelaskan penambahan aset dalam bentuk ladang, merupakan keputusan Lembaga Pengarah Felcra menerusi Transformasi 1.0 yang diputuskan pada 2022, bagi memastikan kelangsungan jangka panjang syarikat itu.
Beliau berkata kali terakhir Felcra membuat perolehan atau pembelian ladang adalah pada sekitar 2013 dan menerusi transformasi itu.
"Namun kita sedar kekangan kewangan tidak memungkinkan penambahan seluas itu, memandangkan kedudukan kewangan Felcra sendiri yang sedang ke arah pemulihan," katanya.
Ahmad Jazlan berkata setiap perolehan yang dibuat tidak melibatkan pinjaman daripada pihak bank atau kerajaan, sebaliknya menggunakan sumber dalaman atau perbelanjaan modal FELCRA Berhad hasil keuntungan dalam bidang komersial, setelah mengambil kira kesesuaian perbelanjaan.
Beliau berkata perolehan ladang yang dibuat, berdasarkan harga Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan kebanyakan pembelian dilakukan di bawah harga JPPH.
Pada 5 Dis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), berhubung jika terdapat kertas siasatan SPRM dibuka terhadap laporan Ketua Audit Negara berkenaan salah tabir urus Felcra.
LKAN 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Julai lepas, mendedahkan pelbagai ketirisan dan kelemahan tadbir urus membabitkan kementerian, jabatan, agensi serta syarikat kerajaan dengan nilai keseluruhan projek diaudit mencecah RM48.87 bilion.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


